Home Artikel PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Separuh Masa Kedua – Masa Untuk PN Perintah Kedah

435
SHARE

Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media semalam menegaskan bahawa ungkapan ‘kerajaan tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’ adalah kata-kata orang yang kecewa.

Yang peliknya juga, tanpa rasa malu, puak-puak Pakatan Harapan (PH) masih lagi ‘menyalak-nyalak’ bahawa jatuhnya Kerajaan PH Kedah adalah kerana pengkhianatan mandat rakyat. Mereka berkata begitu samada mereka tidak tahu atau buat-buat tak tahu dan tidak tahu malu.

Mari kita kira secara matematik fakta kedudukan kerusi parti-parti politik di dalam DUN Kedah selepas Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14).

Pada PRU14 dua tahun yang lepas, sebaik sahaja selesai pengiraan undi, berikut ialah kedudukan kerusi di dalam DUN Kedah:

PAS – 15 kerusi
BN – 3 kerusi
PH – 18 kerusi

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi. Untuk membentuk kerajaan sesuatu parti atau gabungan memerlukan 19 kerusi untuk majoriti mudah.

Jadi semasa keputusan itu diumumkan PH tidak mampu membentuk kerajaan kerana hanya ada 18 kerusi. Sekiranya PAS bergabung dengan BN tetap ia juga tidak boleh membentuk kerajaan kerana ia hanya berjumlah 18 kerusi juga.

Jadi pada masa itu jika PH mahu membentuk kerajaan mereka terpaksa mengundang sekurang-kurangnya seorang daripada mana-mana Adun PAS atau BN untuk beralih kepada PH dan mengkhianati mandat rakyat yang mengundi PAS atau BN di kawasan mereka semasa PRU14 itu.

Sama juga, jika PAS dan BN bergabung dan mahu membentuk kerajaan mereka juga perlu untuk mengundang sekurang-kurangnya seorang daripada Adun PH untuk mengkhianati mandat rakyat yang telah mengundi PH di kawasan mereka semasa PRU14.

Jadi antara PH atau gabungan PAS-BN pada masa itu sama-sama berhak untuk jadi kerajaan. Namun tanpa mengundang mana-mana Adun parti lawan beralih menyokong parti mereka, tidak ada satu parti gabungan pun mampu membentuk kerajaan.

PH akhirnya telah berjaya mengundang seorang Adun BN selepas PRU14 itu untuk mengkhianati mandat rakyat yang mengundi BN di kawasannya demi untuk membolehkan PH membentuk Kerajaan Kedah yang baharu. Maka PHlah yang mula-mula mengkhianati mandat rakyat demi membentuk kerajaan selepas PRU14.

Tapi apabila sokongan beberapa orang Adun PH berubah kepada Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini, tiba-tiba PH tanpa segan silu menuduh PN sebagai mengkhianati mandat rakyat. Adakah pemimpin dan penyokong PH ini tidak ada cermin muka di rumah mereka?

Ini pendapat penulis, gabungan BN-PAS mahu pun PH asalnya mempunyai bilangan yang sama dengan masing-masing mendapat 18 kerusi selepas PRU14. Kedua-duanya sama berhak menjadi kerajaan.

Namun PH telah berjaya membentuk dulu kerajaan selepas PRU14 dengan mengkhianati mandat rakyat. Maka selepas dua tahun, kini giliran gabungan asal PAS-BN pula untuk membentuk kerajaan di bawah pakatan baru PN.

Atau dalam anologi mudahnya, PH memerintah separuh masa pertama dan PN memerintah separuh masa kedua. Kita nak bagi adil sahaja.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Ketua Unit Berita Dan WARM Penerangan PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)