Sebentar tadi PM Tan Sri Muhyidin Yassin baru sahaja mengumumkan penambahan masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020. Ini menunjukkan bahawa wabak Covid-19 ini masih belum dapat dikalahkan.
Kegagalan sesetengah ahli masyarakat dalam mematuhi peringkat awal PKP mungkin menyumbang kepada penambahan masa ini. Sikap sesetengah ahli masyarakat yang berpotensi dijangkiti wabak ini yang gagal memberi kerjasama yang baik kepada kakitangan kesihatan menyukarkan lagi pihak kerajaan untuk mengawal wabak ini.
Namun suatu yang sangat penting untuk pihak kerajaan Negeri Melaka untuk mengambil berat ialah tentang keperluan rakyat untuk menyambung hidup di tengah-tengah kegawatan ini.
Di kampung-kampung sudah kedengaran ada rakyat-rakyat miskin yang sudah hampir kehabisan makanan. Lebih teruk lagi mereka juga sudah hampir kehabisan wang untuk berbelanja.
Mereka ini mungkin dari golongan pekerja yang mengambil upah harian yang mana apabila mereka tidak bekerja maka mereka tiada gaji. Juga golongan penjaja dan peniaga kecil yang tidak dapat berniaga pada waktu ini. Selain itu ada juga pekerja-pekerja yang diberhentikan kerana PKP ini. Mereka ini sedang dalam kesusahan sekarang.
Saya percaya kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Sulaiman Md. Ali sudah pun membuat perancangan dalam menyalurkan bantuan-bantuan asas kepada rakyat yang terjejas seperti yang telah pun diumumkan sebelum ini.
Jentera kerajaan di peringkat Japerun dan kampung harus bertindak pantas mengenalpasti golongan yang terkesan ini. Saya difahamkan MAIM sendiri ada menyediakan beberapa peruntukan khas untuk membantu rakyat miskin.
MAIM dan JAIM harus memastikan organisasi masjid di seluruh kampung-kampung bergerak aktif untuk mencari golongan-golongan yang memerlukan ini.
Jentera-jentera parti politik juga harus membantu kerajaan dalam menguruskan perkara ini agar tidak ada rakyat yang kelaparan.
Lebih dari itu, dalam situasi yang amat sukar ini golongan yang mampu harus menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas ini tanpa bergantung seratus peratus kepada peruntukan kerajaan semata-mata. Di peringkat yang paling awal carilah jiran terdekat. Tanyakan pada mereka adakah mereka sudah makan?
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ , عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.
Dari Ibnu Abas dari Nabi SAW: Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan (HR at Tabrani No: 12579) Status: Sahih
IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka