Home Berita PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Majlis Keselamatan Negara Keluar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)

1175
SHARE

Malam semalam, melalui satu kenyataan akhbar oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan di Simpang Renggam. Ini adalah kerana Daerah Kluang telah mencatat 83 kes positif Covid-19.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Dato’ Ibrahim Majid. Kedua-duanya di Simpang Renggam Johor. Ia melibatkan 650 keluarga dengan jumlah 3570 orang penduduk. Dari 83 kes yang dicatat di Kluang, 61 kes adalah dari kawasan ini.

Dengan perintah ini semua penduduk dari kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar dari situ manakala orang luar pula tidak dibenarkan sama sekali masuk ke situ. Semua aktiviti perniagaan tidak dibenarkan. Penduduk tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali. 

Makanan akan dibekalkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus ke rumah-rumah. Perintah ini adalah untuk tempoh 14 hari bermula malam tadi. Ini bagi membolehkan kakitangan kesihatan membuat pemeriksaan teliti dari rumah ke rumah.

Apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini boleh menjadi lebih buruk dan menyukarkan apabila ia dipertingkatkan menjadi PKPD. Kerana itu rakyat harus berdisiplin dengan mematuhi arahan dan perintah yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Jika kita rasa tertekan dengan apa yang berlaku sekarang ini maka kita hendaklah terus berdisiplin. Jika tidak kita akan lebih tertekan dengan peraturan yang lebih ketat apabila wabak ini memburuk akibat dari kedegilan sesetengah dari kita.

Setakat ini alhamdulillah, rakyat Melaka diiktiraf antara Negeri yang terbaik dalam mematuhi perintah ini. Sama-sama kita berdoa agar semua ujian berat ini akan berakhir segera. Amin.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Lajnah Penerangan Dan Media Baru Melaka