Home Artikel PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Adun Dengkil Juga Bakal Terlepas Seperti Anwar?

835
SHARE

Ketika Komen Editor Berita PAS Melaka ini ditulis saya baru sahaja membaca berita kenyataan akhbar Peguam Cara Negara berkaitan kes tuduhan serangan seksual Anwar oleh Muhammed Yusoff Rawther.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama. Dengan ini tiada pendakwaan akan dilakukan terhadap Anwar.

Baru sahaja semalam satu Malaysia bercakap tentang kes penangkapan Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah bersama-sama dengan rakan-rakan dan beberapa orang wanita yang disahkan positif dadah. Turut ditahan ialah seorang pemimpin Bersatu, Pizi Jihat yang dikatakan pegawai khas kepada Muhyidin Yassin.

Kita boleh melihat komen-komen yang diberikan oleh netizen di media-media sosial terhadap kes Adun Dengkil ini. Ramai netizen yang menganggap bahawa kes ini akan mengalami nasib yang sama dengan kes-kes lain sebelum ini. Mereka akan lepas. Jika ada pendakwaan pun akan dilakukan secara tidak bersungguh dan akhirnya mereka akan terlepas. Ini apa yang ada dalam fikiran rakyat.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November 2019 lepas pula membebaskan Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA). Walau pun Rafizi akhirnya dibebaskan ketika PH memerintah, namun itu tidak pelik. Barangkali memang betul dia tidak bersalah.

Tidak lama selepas itu pendakwaraya telah memfailkan rayuan atas kes tersebut. Namun tindakan pendakwaraya tersebut telah menimbulkan kemarahan Peguam Negara dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap pendakwaraya yang dikatakan engkar.

Peliknya di sini, timbul tandatanya mengapa Peguam Negara terlalu marah terhadap pendakwaraya yang memfailkan rayuan? Sedangkan ia prosedur biasa untuk pejabat pendakwaraya memfailkan rayuan bagi kes-kes yang pendakwaraya kalah.

Dalam undang-undang ada satu prinsip yang menyatakan bahawa keadilan itu bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi perlu DILIHAT telah ditegakkan’. (Not only must justice be done; it must also SEEN to be done)

Mengikut prinsip ini jika sekali pun keadilan itu sebenarnya telah ditegakkan tetapi jika di mata rakyat mereka tidak melihat bahawa keadilan itu telah ditegakkan, maka ia masih belum boleh dikatakan bahawa keadilan itu telah ditegakkan.

Dengan prinsip ini undang-undang tidak hanya mengambilkira pengamal undang-undang yang tahu undang-undang sahaja yang berhak untuk menilai, tetapi orang ramai yang tidak belajar undang-undang juga berhak untuk menilai adakah undang-undang dan keadilan itu dirasakan sudah ditegakkan.

Samada ia fakta atau sekadar persepsi, rakyat sekarang ini melihat bahawa undang-undang negara ini bagai sudah dirimbakan oleh para pemimpin PH dan keadilan juga dilihat gagal ditegakkan oleh kerajaan. Ini hak rakyat untuk beranggapan begitu berdasarkan prinsip bahawa undang-undang itu bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi juga mesti DILIHAT sudah ditegakkan.

PH yang teruk mencerca BN semasa BN memerintah dulu kononnya banyak memanipulasi undang-undang dan melakukan cover up, namun sekarang apa yang rakyat nampak PH jauh lebih teruk. Hancur!

Kita sama-sama lihat apa akan jadi pada kes Adun Dengkil ini. Adakah sindiran netizen bahawa Adun Dengkil ini juga bakal menerima nasib yang sama dengan pemimpin PH lain yang ada kes iaitu bakal dibebaskan dari pertuduhan atau pun akan didakwa dengan telus? Kita tengok nanti.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka