Kenyataan Media Penerangan. 198/69
11 Syawwal 1439 | 25 Jun 2018
KLEPTOKRONISME !
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan
1. Hari pertama dagangan di Bursa Malaysia pada 14 Mei 2018, saham-saham yang berkaitan kerajaan dan pemimpin politik menunjukkan pelbagai respon. Saham-saham seperti MyEG, George Kent dan MRCB menunjukkan kejatuhan yang teruk.
2. Sebaliknya, saham-saham yang dimiliki dan berkaitan dengan ahli politik Pakatan Harapan, menunjukkan kenaikan yang mendadak seperti Opcom, Petron dan Thriven. Ini satu kebiasaan dalam pasaran modal yang dipacu oleh sentimen politik ekonomi.
3. Namun, berbeza dengan tindakan selektif kerajaan dalam membuat keputusan terhadap projek-projek mega khususnya yang melibatkan infrastruktur rakyat seperti HSR, MRT3 dan ECRL.
4. Dua projek yang diberikan kata muktamad untuk dibatalkan atau ditangguhkan adalah HSR dan MRT3. Manakala, projek ECRL walaupun terdapat desakan sejak tahun lalu untuk dibatalkan oleh Pakatan Harapan, ia tetap diteruskan sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan beberapa hari lalu.
5. Projek ECRL yang mencecah RM 66 bilion tetap diteruskan walaupun kerja-kerja awal hanya bermula kurang daripada 15 peratus. Sepatutnya, kerajaan perlu lakukan semakan mengapa sejumlah RM 20 bilion telah dibayar kepada CCCC sebelum membuat keputusan untuk meneruskan projek berkenaan.
6. Isu ini lebih menimbulkan kontroversi apabila keputusan meneruskan projek ECRL ditetapkan setelah 22 juta unit saham T7 Global Bhd telah dibeli oleh Tan Sri Vincent Tan pada 17 Mei yang lalu.
Adakah ini yang dimaksudkan sebagai ‘insider trading’?
7. Tan Sri Vincent Tan diketahui umum sebagai salah seorang kawan akrab kepada Tun Mahathir. Berlegar foto-foto beliau bersama Perdana Menteri dalam majlis-majlis keraian termasuk sebuah majlis sambutan hari lahir Tun Mahathir yang ke-90 pada tahun 2015 di Berjaya Times Square.
8. Sebelum itu, kedua-duanya juga turut dikritik berhubung isu lesen judi yang dikatakan telah diberikan sejak tahun 2003 lagi. Hal ini bukan sesuatu yang asing malah menjadi rahsia umum.
9. Sebelum itu, seorang lagi ahli korporat kontroversi yang dikaitkan dengan Tun Mahathir dan Tun Daim iaitu Tan Sri Ting Pek Khiing yang muncul dua minggu selepas kemenangan Pakatan Harapan untuk membina projek Langkawi City bernilai RM 30 bilion.
10. Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih arif akan hal ini terutamanya yang berkaitan dengan projek Empangan Bakun seperti mana laporan polis yang pernah dibuat olehnya pada tahun 1999.
11. Walaupun Kerajaan Persekutuan dilihat amat cermat dalam menguruskan dasar fiskal dengan memainkan sentimen hutang negara berulang-ulang kali dan mengamalkan dasar penjimatan yang ketat, pada masa yang sama kerajaan juga mencipta ‘peluang baru’ dalam pasaran modal ketika pelabur-pelabur asing agresif menarik dana.
12. Isunya ialah berkemungkinan berlaku ‘insider trading’. Pihak tertentu yang lebih awal mengetahui polisi kerajaan dan cepat mengaut keuntungan.
Sekarang, siapa yang telah meraih laba? Selamat datang, kleptokronisme !
Sejahtera Bersama Islam
Sekian.