Home Berita PAS Kelantan

Kita tengok anak Kelantan berjaya dalam pengajian

898
SHARE

KEBIJAKSANAAN seseorang pemimpin ialah bila dia dapat memanfaatkan sebaiknya sumber yang dimiliki sepadan dengan keupayaan dan bukannya merancang sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata.

Ketika era Kerajaan PAS Kelantan sebelum 1978, pimpinan PAS Kelantan menyedari bahawa adalah mustahil Kelantan mampu bersaing dengan negeri-negeri lain dari segi ekonomi.

Kelantan tak ada lebuh raya, tak ada pelabuhan dan tak ada lapangan terbang antarabangsa. Berusaha untuk menyaingi negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor dari segi ekonomi adalah tidak realistik.

Lantas kepimpinan PAS Kelantan yang menerajui kerajaan negeri membuat perancangan untuk menjadikan pendidikan sebagai tumpuan utama. Orang Kelantan mesti diberikan peluang untuk belajar setinggi dan seluas yang boleh.

Keterbatasan ketika itu ialah jumlah peruntukan biasiswa pengajian di universiti oleh Kerajaan Pusat pimpinan Tun Razak kepada rakyat Kelantan yang agak terhad. Lalu Kerajaan Kelantan mencari inisiatif lain dengan memperuntukkan biasiswa kerajaan negeri kepada anak-anak Kelantan untuk belajar di universiti. Bajet yang besar diperuntukkan untuk pemberian biasiswa kerajaan negeri. Kerajaan Pusat cuma perlu sediakan tempat di universiti.

Inilah antara faktor kenapa kita tengok anak Kelantan ramai yang berjaya dalam pengajian dan menjawat pelbagai jawatan tinggi di pelbagai sektor.

Antara yang belajar dengan biasiswa Kerajaan Kelantan ialah Ketua Wanita MCA, Dr Ng Yen Yen. Sebab itu sehingga sekarang dia tak masuk Umno! Sekadar MCA sahaja. Mungkin ingat jasa Kerajaan PAS Kelantan kot.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Dr Abdul Latif Ahmad juga belajar dengan biasiswa Kerajaan Kelantan. Rezeki dia dapat jawatan dalam Kerajaan Umno.

Hebatnya orang Kelantan kerana mereka sedar keupayaan ekonomi yang terbatas. Lalu bertindak secara berpijak di bumi nyata.

Kita orang Terengganu, masalah kemiskinan rakyat nak diselesaikan dengan cara buat jambatan boleh buka tutup di Seberang Takir. Buka kedai bebas cukai di Tasik Kenyir. Buat Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir. Buat Taman Ilmu yang jadi ‘Taman Hantu’ tak berpenghuni di Tembila, Besut. Buat Projek Kambing Kaprima yang hanya tinggal kandang. Tanam strawberry dan anggur yang pokoknya pun tak dapat dilihat apatah lagi buahnya. Habiskan berjuta ringgit untuk penyelidikan Projek Ubi Gadong. Buat zoo yang tak berapa ada haiwan di Kemaman. Projek Kelapa Mantaq yang tinggal nama dan pelbagai lagi tindakan yang menggambarkan kemampuan berfikir pemimpin Umno Terengganu.

Dalam masa yang sama, bantuan pengajian untuk anak-anak Terengganu menyambung pengajian ke luar negara sudah tinggal kenangan. Sepatutnya bila sedar kita masih ketinggalan jauh dari segi ekonomi, sekurang-kurangnya kita berusaha keras agar rakyat kita berilmu.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
2 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 2/8/2017