Home Berita PAS Kedah

Kita bukan negeri DAP nak jual arak secara terbuka

333
SHARE
Oleh MOHD SABRI ABU BAKAR

ALOR SETAR, 17 Nov – “Kita bukan negeri DAP nak jual arak secara terbuka,” itu reaksi Exco Agama Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad berhubung ketetapan diambil kerajaan negeri untuk menghadkan jualan arak di Kedah.

Menurutnya, selagi Melayu Islam berkuasa di negeri ini, kerajaan negeri akan memastikan Kedah bebas daripada ancaman bahaya arak.

“Kita akan lakukan pembaharuan selari dengan apa yang dituntut agama sedikit demi sedikit. Insya Allah suatu hari nanti, Kedah akan bebas daripada bahaya minuman keras.

“Jika ada yang tak setuju, boleh pindah dan tinggal di negeri dipimpin DAP. Di sana arak dijual terbuka. Kedah bukan negeri DAP nak ikut macam apa yang depa buat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau yang juga Exco Pendidikan dan Sumber Manusia berkata, rakyat Kedah berdiri teguh di belakang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berani melakukan keputusan menghadkan penjualan arak.

Selain tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, Muhammad Sanusi mengumumkan ketetapan menghadkan penjualan arak hanya kepada pengguna bukan Islam termasuk melakukan penguatkuasaan berdasarkan perundangan sedia ada.

Jualan arak yang selama ini menjadi barah dalam masyarakat dengan pelbagai masalah sosial juga akan dihadkan di kawasan tidak mempunyai permintaan khususnya di luar bandar.