Home Berita PAS Kedah

Kisah sayu asnaf rumah dalam pembinaan dipukul ribut

118
SHARE

SUNGAI PETANI – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersetuju membantu sebuah keluarga asnaf yang rumah kediaman mereka dipukul ribut dalam kejadian di Padang Binjai Simpor, Tikam Batu, di sini Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman sendiri turun melihat semalam, terkejut dengan dugaan menimpa keluarga ini apabila rumah yang masih dalam pembinaan itu hilang bumbung dan alangnya.

Terdahulu, ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim yang datang melawat bersama para pegawai beliau dan menyampaikan sumbangan telah memanjangkan makluman hal itu kepada LZNK, kelmarin.

Menurut Syeikh Zakaria, pasangan suami isteri itu memang penerima bantuan kewangan bulanan daripada LZNK sebanyak RM500 di bawah asnaf fakir dan miskin di mana mereka juga mempunyai lapan anak.

Kata beliau, si suami merupakan pekerja baik baik pulih kecil-kecilan di rumah, namun kini sudahpun mendapat kerja sebagai pemandu van kilang, manakala si isteri juga telah bekerja di kilang.

“Kami baru ja masuk rumah ni dua hari ustaz, tiba-tiba mai ribut habis bawa terbang bumbung sekali dengan alang rumah,” bisik Kamariah Che Rus, 45 tahun, perlahan.

“Awat kak mai duk sini? Nampak rumah macam belum siap sepenuhnya lagi,” tanya Syeikh Zakaria mengulang cerita beliau ketika bertemu keluarga tersebut di tapak kediaman itu, semalam.

“Tuan rumah sewa kami habaq kata nak jual rumah dia yang kami duduk sewa dulu. Kami pun kalut la pesiap yang mana boleh dan terus masuk duduk. Tak sangka ribut nak mai bawa bumbung,” sedih nada Kamariah.

Kata Zakaria, beliau sedih sangat melihat keadaan rumah tersebut di mana lantai pun belum siap dan hanya dilapik papan lapis serta tikar untuk duduk dan apabila hujan dimaklumkan air masuk sampai dalam rumah.

“Macam ni la kak. LZNK akan bantu buat sebuah rumah baru untuk kak dan abang Rashid sekeluarga. Sebab tengok kepada struktur rumah dan tanah yg sekarang ni pun tak sesuai kalau nak baik pulih.

“Kena buat balik bagi elok. Tanah pun nak kena tambun balik. Ni tanah siapa kak?” tanya pihak LZNK lagi.

“Tanah pak menakan saya ustaz. Dia bagi izin kami buat rumah di sini. Cuma sekarang kami terpaksa minta pertimbangan Tuan Rumah lama untuk balik duk rumah sewa dulu balik sat,” jawab kak Kamariah.

“Ok kalau macam tu kak dengan abang duduk dulu di rumah sewa tu. Duit sewa tiga bulan ke depan ni LZNK tanggung. Sempat lah sementara nak siap rumah baru nanti,” jamin Syeikh Zakaria.

Pihak LZNK juga sebelum pulang membekalkan sedikit wang zakat untuk belanja dan juga kit makanan sementara untuk keluarga itu dan para dermawan yang ingin membantu boleh juga salurkan sumbangan di https://asnafcare.com.my