Home Berita PAS Terengganu

Khidmat Malaysia Terengganu Hantar 150 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah

20
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari di negeri jiran iaitu di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir bermula hari ini.

Katanya, ini termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir.

“Saat bencana seperti ini, bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan keperluan asas.

“Mereka (sukarelawan) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah-rumah, membaiki kembali rumah yang rosak dan menukar minyak silinder,” katanya kepada pemberita.

Tambah Hanafiah, pihaknya juga akan membawa barang keperluan asas seperti toto (200), selimut (200 helai) dan bantal(200 biji) yang bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir.

Menurutnya, ia merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.