Home Berita PAS Johor

Khidmat Malaysia Johor buka bilik gerakan operasi hadapi banjir

246
SHARE

Oleh : SAFWAN KAMAZELAN

KULAI, 2 Januari : Khidmat Malaysia (KM) Negeri Johor pagi ini telah membuka bilik gerakan negeri dan bilik operasi kawasan, berikutan bencana banjir yang semakin buruk yang melanda di beberapa kawasan sejak semalam.

Demikian menurut Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada pagi ini.

“Kami telah menerima laporan keadaan bencana banjir yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Johor sejak semalam.

“Laporan yang telah diberikan oleh Bilik Operasi memaklumkan bahawa tiga tempat telah dinaiki air iaitu kawasan Labis, Sekijang dan Segamat,” kata beliau.

Beliau juga menyatakan diperingkat negeri pihaknya telah membuka bilik gerakan di Simpang Renggam, manakala Khidmat Malaysia di kawasan yang terjejas tersebut telah membuka bilik operasi masing-masing bagi persediaan untuk membantu mangsa banjir.

“Menurut laporan Bilik Operasi Kawasan, mangsa yang telah terlibat telah melebihi 1200 orang manakala sebanyak 20 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor.

“Khidmat Malaysia Negeri akan memantau keadaan bencana banjir di Johor dan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan bencana banjir ini, ” kata Khairul Faizi mengakhiri kenyataannya.

Khidmat Malaysia juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang ke tabung bencana di akaun Maybank 5623 8454 2866 atas nama Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia.

Pada masa yang sama, setakat jam lapan pagi ini dalam satu kenyataan statistik di portal NADMA, dua daerah di Negeri Johor iaitu Tangkak dan Segamat telah mencatatkan peningkatan mangsa banjir seramai 1,646 orang melibatkan 425 keluarga yang ditempatkan di 28 buah PPS.