Home Berita PAS Kelantan

Khalayak dipelawa sertai Senaman Tua

230
SHARE

KOTA BHARU, 20 Jan: Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah mempersila dan mengalu-alukan individu yang berminat dan ingin mencuba mengamalkan Senaman Melayu Tua (ST) bersamanya di Masjid Sembilan Wali, Pusat Khidmat DUN Panchor pada setiap Isnin minggu pertama dan ketiga iaitu 7 dan 21 Februari 2022.

Menurutnya, antara sukatan dalam ST ialah Nafas Melayu, Tapak Sembilan, Jengket, Labuh Luar, Labuh Dalam, Temu Tempurung, Tari Inang, Naga Berlabuh, Duduk Pendekar, Geliat Anak Harimau, Gulung Ekor Naga dan beberapa rutin lagi yang lembut gerakannya, tetapi memberikan kesan yang baik pada tubuh.

Dato’ Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor turut menyatakan cadangannya untuk menganjurkan Karnival Senaman Melayu Tua terbesar di Kota Bharu dengan kerjasama Warisan Melayu Khazanah Dunia dan penampilan Editor Majalah Seni Bela Diri, Dr Azlan Ghanie serta semua pengamal ST di seluruh negara.

Beliau menyatakan hasrat tersebut di laman sosialnya pada 17 Januari lalu. Tulisnya “Alhamdulillah setelah setahun berehat, malam ini dapat bersama kawan-kawan Senaman Melayu Tua di Masjid Sembilan Wali di pusat khidmat saya di sini. Jika ada peluang, kami bercadang untuk menganjurkan karnival Senaman Melayu Tua terbesar dengan kehadiran Azlan Ghanie II dan semua pengamal Senaman Melayu Tua seluruh negara di Kota Bharu, Kelantan.”

Sementara itu, Dr Azlan mengakui Dato’ Mohd Amar antara pemimpin negara dan pengamal ST yang memberikan kekuatan kepada beliau untuk terus memelihara dan mengembang ilmu pusaka leluhur Melayu itu.

“Kehadiran YB Dato’ Mohd Amar yang sudi hadir dalam kursus ST adalah luar jangkaan. Semangat YB Dato’ bersenam luar dugaan. Kekuatan YB Dato’ tunjuk hasil dari duduk di lantai terus berdiri tanpa bantuan tangan itu, luar biasa. Inspirasi kepada ‘magik’ ST untuk terus melangkah ke depan”, tulisnya dalam laman sosial.