Home Berita PAS Melaka

Ketua Menteri Melaka lancar gerobok rezeki Masjid Saidina Umar Al-Khattab

539
SHARE

Oleh ADAM BABA

MASJID TANAH, 15 Mac : Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah melancarkan program ‘Gerobok Rezeki’ anjuran Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Lendu, di sini pada Sabtu lepas.

Program yang merupakan inisiatif masjid ini sendiri bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

Ketua Menteri yang juga merupakan Adun Lendu itu melancarkan program ini sebagai salah satu daripada rangka pengisian program turun padang beliau ke DUN tersebut pada hari itu.

Program beliau pada Sabtu itu bermula dengan solat Subuh bersama rakyat selain turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada rakyat usai kuliah Subuh yang disampaikan Pensyarah UiTM, Ustaz Salehuddin.

Ketua Menteri kemudiannya bersarapan pagi bersama rakyat di Kedai Makan Hashim berhampiran masjid sebelum melakukan zìarah kasih ke beberapa buah rumah selain turut menziarahi sekolah pondok berhampiran.

Sementara itu Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Dun (JPrD) PAS Lendu, Jamaruddin Ahmad ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) berkata bahawa PAS sentiasa menyokong aktiviti turun padang yang dilakukan Ketua Menteri Melaka itu.

“Kita juga akan sentiasa komited memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN),” ujar beliau.

Program turut disertai oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Cikgu Arshad Md Som.