Home Artikel PAS Melaka

Ketua Menteri Melaka Lahir Kesyukuran Korporat Hulur Sumbangan Bantu Tangani Covid-19

462
SHARE

Oleh : IBNU JANIE

MASJID TANAH : Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Sulaiman Md Ali melahirkan rasa syukur atas kesudian beberapa syarikat korporat menghulurkan sumbangan bagi membantu kerajaan negeri dalam menangani penularan wabak Covid-19 di Melaka.

Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran facebook beliau semalam. Bersama-sama dengan hantaran facebook itu, beliau turut menyertakan satu Kenyataan Media Rasmi Pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan perkara ini.

Menurut kenyataan media tersebut, sumbangan dalam bentuk wang tunai dan juga barangan itu diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Mamee Double Decker Sdn Bhd, Julie’s Marketing, Pesuruhjaya Bersekutu Pertahanan Awam dan Syntax Valley Sdn Bhd.

Kenyataan media itu juga menyatakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan penyumbang terbesar dengan nilai sumbangan RM1 juta. Sumbangan itu akan digunakan untuk membeli peralatan dan barangan yang diperlukan frontline Jabatan Kesihatan Melaka dan Hospital Melaka.

Jelas kenyataan media itu RM860 ribu dari sumbangan TNB ini akan digunakan untuk membeli pelbagai barangan dan peralatan berkaitan kesihatan seperti topeng muka, sarung tangan, hand sanitizer dan apron plastik putih. Sementara RM140 ribu lagi akan digunakan untuk membeli dua unit portable ventilator untuk kegunaan Hospital Melaka.

Kenyataan media itu juga memaklumkan bahawa Syarikat Mamee Double Decker Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM250 ribu dalam bentuk wang tunai dan barangan. Dari sumbangan itu RM100 diperuntukan untuk Jabatan Kesihatan Melaka. RM100 ribu lagi untuk membeli barang berkait peralatan dan barangan berkaitan kesihatan bagi menangani Covid-19. Mamee juga menyumbangkan 40 ribu paket mi segera untuk barisan hadapan menentang Covid-19.

Tambah kenyataan media itu lagi, sumbangan dari Julie’s Marketing pula berupa biskut yang bernilai RM10 ribu melalui APM Melaka. Sementara Syntax Valley Sdn Bhd pula menyumbangkan 25 ribu topeng muka.

Kenyataan media itu juga menyatakan yang penyerahan replika cek sumbangan oleh TNB disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman. Penyerahan sumbangan Mamee Double Decker Sdn Bhd pula disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada CEO dan COO Kumpulan Mamee Double Decker Bhd, Datuk Gary Choo.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Seri Hasim Hasan, Pegawai Kewangan Negeri YB Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ismail Ali seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media tersebut.