Home Berita PAS Kelantan

Ketepatan maklumat Perundangan Islam jadi keutamaan- Exco Prmbangunan Islam

11
SHARE

KOTA BHARU, 4Ogos: Penganjuran Program Sambutan Hari Hududullah oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) adalah sebagai satu usaha kerajaan negeri yang berterusan memperjuangkan Sistem Perundangan Islam iaitu Hukum Hudud selain turut menjadi medan ilmu bagi menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan isu-isu sistem perundangan di Malaysia kepada semua lapisan masyarakat di negeri Kelantan.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud ketika berucap sempena Program Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Kelantan 1444H/2022M di Balai Islam Lundang, semalam.

Katanya, kerajaan negeri mengambil sikap dan peranan untuk menjadikan Sistem Perundangan Islam dilaksanakan seperti yang tercatat di dalam al-Quran.

“Program yang disusun dengan ceramah, forum dan pameran ini bertujuan memberi penjelasan berkenaan dengan isu perundangan Islam yang semakin berlegar-legar dalam masyarakat awam hari ini.

Kupasan dan input serta pencerahan daripada penceramah dan ahli panel dapat membantu masyarakat mencari jalan kebenaran dan memastikan kekeliruan dan kecelaruan tentang Undang-Undang Islam dapat diselesaikan,” katanya.

Tambahnya, Islam bukanlah sekadar ibadat solat, puasa atau muamalah harian seperti jual beli, gadaian dan bukan juga sekadar dalam urusan munakahat seperti kahwin, cerai, rujuk, bahkan Islam itu merangkumi pentadbiran negara melalui sistem perundangan dan syariat yang tercatat di dalam al-Quran dan Hadis.

“Syariat Islam telah memberikan jalan keluar kepada semua permasalahan sosial yang melanda masyarakat pada masa kini.
Kerajaan negeri telah sedaya upaya melaksanakan pelbagai program agar keharmonian ini dapat dinikmati, bukan sekadar untuk generasi sekarang bahkan untuk generasi akan datang,” katanya.

Katanya lagi, bagi menjayakan pelaksanaan Sistem Perundangan Islam di negeri Kelantan, kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan bahagian penguatkuasaan agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti menjadikan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah kepada Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, iaitu dengan menambah bilangan anggota penguatkuasa dan menyediakan prasarana yang lengkap dan mencukupi sejajar dengan perkembangan sistem perundangan masa kini.

Ujarnya lagi, kita semua adalah wajib menjaga syariat Allah, mencegah dan merawat daripada gejala sosial tular dan menulari orang lain serta sama-sama mengawal dan mendidik umat Islam daripada melakukan perkara-perkara yang membinasakan kehidupan manusia agar negeri kita sejahtera dan negara kita aman makmur.