Home Berita PAS Johor

Kesatuan ummah dan perkasa perpaduan menuju kemenangan

98
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 7 Ogos : Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor Kali ke 34 dengan tema ‘Ummah Bersatu Menuju Kemenangan Jitu’ telah diadakan di Hotel Muar Traders di sini, pagi semalam.

Rata-rata ucapan yang disampaikan dalam muktamar kali ini mengajak para muslimat untuk membentuk kesatuan dan perpaduan dalam segala gerak kerja dan tindakan.

Dengan kesatuan ummah dan perpaduan yang jitu, barulah jalan menuju kemenangan dapat diterokai dengan sebaiknya dan hasilnya kemenangan dapat tercipta.

Dalam ucapan perasmiannya, Senator Dr Wan Martina Wan Yusof, ahli Dewan Negara menyatakan kemenangan itu tidak akan datang dengan mudah.

“Muslimat perlu berjiwa besar dan berinformasi dalam mendekati masyarakat. Tanpa infomasi yang cukup dan tepat, kita tidak mampu menerangkan kepada masyarakat tentang bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak kementerian-kementerian.

“Contohnya dari Kementerian Sumber Manusia, ada agensi PERKESO yang ada menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda – My Future Job, ” tambah beliau lagi.

Begitu juga ditekan oleh Ketua Dewan Muslimat Johor, Zakiah Tukirin dalam ucaptamanya di mana kesatuan ummah melalui agenda dakwah dengan berhubung baik den gan mana-mana pihak atas dasar ukhuwah.

“Semua muslimat diseru agar mengutamakan agenda perpaduan ummah mengelakkan daripada berlaku perpecahan khususnya sesama umat Islam,” ujarnya.

Jangan mudah digoyahkan oleh musuh-musuh Islam yang memang mencari peluang. Perkasakan perpaduan dengan pihak bukan Islam agar mereka tidak rasa dipinggirkan.

Dalam salah satu ucapan penangguhan dari Zon 5, wakil dari Muar, Norhayati Sulaiman juga menyentuh isu yang sama di mana dikhususkan bahawa salah satu jalan kemenangan itu adalah melalui usaha tarbiyah.

Kekuatan tarbiah di kalangan muslimat dengan amalan-amalan ruhiyyah di samping berusaha pelbagai cara dalam meraih keredhaan Allah dapat membina benteng menghadapi cabaran yang datang.

Untuk menghargai usaha-usaha muslimat Johor, telah disampaikan anugerah-anugerah kepada mereka yang telah banyak menyumbang kepada PAS. Antaranya ialah Anugerah Tokoh Al Khansa kepada Zuryati Yassin dan anugerah lajnah terbaik iaitu Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan Muslimat Johor serta Lajnah Ekonomi Muslimat Mersing.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Adun Maharani, Abd Aziz Talib, Wakil Dewan Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Muhidir Tamjis dan wakil Parti Gerakan, Susan Yong Fei Ling.