Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM
ALOR GAJAH, 20 Mac : “Laksana (program kebajikan) dengan penuh kecintaan dan kesabaran, untuk pencen kita selepas mati. Insya-Allah akan dipermudahkan segalanya oleh Allah,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.
Dengan penuh kasih sayang beliau merenung wajah-wajah perwakilan daripada 13 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir di majlis townhall anjuran kementeriannya di Kompleks Japerun Taboh Naning di sini, semalam, sambil memberi nasihat di dalam ucapannya.
Umpama seorang ibu mengingatkan anak-anaknya, Siti Zailah yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Lah berpesan supaya aktivis NGO mengurangkan birokrasi demi mempermudahkan urusan pihak yang memerlukan bantuan dan melakukannya dengan sabar kerana kerja kebajikan adalah lubuk pahala.
Dengan lembutnya mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia ini memberikan ‘tausiah‘ (nasihat) sebelum mengakhirinya dengan doa memohon keberkatan dalam setiap pekerjaan.
Turut mendengar tausiah ini adalah Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Wira Latipah Omar beserta pegawai-pegawai KPWKM.
Hadir sama ialah beberapa orang pimpinan PAS Melaka, antaranya Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah Ustaz Syahbudin Senin dan ahli-ahli jawatankuasa NGO negeri Melaka.