KOTA BHARU, 23 Oktober: Kerajaan negeri telah menetapkan suatu pelan tindakan yang jelas dalam pembangunan ICT dan juga ekonomi digital negeri Kelantan melalui penyediaan rangka tindakan pelan halatuju ICT negeri 2019-2025 dan juga pelan induk ekonomi digital negeri Kelantan.
Demikian menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Ustaz Azhar Salleh dalam ucapan alu-aluan mewakili Pengerusi jawatankuasa portfolio tersebut pada Majlis Pelancaran Kelantan Go Digital Karnival Go Digital MPUK di Dataran Warisan Perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, baru-baru ini.
Katanya, di antara inisiatif strategik kerajaan negeri ialah menjalinkan kerjasama mantap merangkumi pelbagai pihak iaitu rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan pusat.
“Kerjasama strategik ini penting dalam usaha kerajaan negeri memacu program pemulihan sosio-ekonomi dan perniagaan pasca COVID-19 dengan integrasi teknologi digital dan pengembangan IR 4.0.
Program Karnival Go Digital MPUK yang diadakan ini adalah hasil kerjasama di antara dua portfolio iaitu Jawatankuasa Pembangunan Sains dan Teknologi serta Pembangunan Usahawan negeri Kelantan,” katanya.
Tambahnya, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada pihak Bank Negara Malaysia, agensi kerajaan negeri dan pusat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program pada kali ini.
“Program Go Digital adalah sebahagian program utama di dalam pelan induk ekonomi digital negeri Kelantan di bawah teras, pertamanya untuk mewujudkan masyarakat digital yang inklusif bertujuan untuk mengembangkan penerimagunaan pembayaran secara elektronik oleh peniaga dan rakyat.
Kedua, meningkatkan daya saing ekonomi melalui pendigitalan yang bertujuan memudah cara penerimaan digital, akses dan penggunaan teknologi digital yang berkesan bagi perniagaan, industri dan masyarakat.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.