Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan negeri komited lahirkan masyarakat sejahtera – MB

30
SHARE

KOTA BHARU, 25 September: Dalam melahirkan masyarakat sejahtera yang berpaksikan bimbingan wahyu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dasar yang holistik kepada rakyatnya antaranya Dasar Pendidikan Rabbani (DPRK), Dasar Keluarga Mawadah Kelantan (DKMK), Dasar Belia Kelantan (DBK) dan Dasar Pencegahan Sosial Kelantan (DPSK).

Semua dasar tersebut diperkenal bertujuan mendepani cabaran semasa kearah memastikan pembangunan negeri yang seimbang sekaligus memastikan negeri Kelantan dilimpahi keberkatan dan kemakmuran oleh Allah SWT.

YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob berkata Kerajaan Negeri yakin pembudayaan komuniti rabbani itu sangat bertepatan dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam pendekatan merakyatkan Dasar Membangun Bersama Islam (MMBI) yang pasti akan dijadikan pegangan dan agenda utama kerajaan negeri dalam semua program yang sedang dan bakal dilaksanakan nanti.

Menurutnya lagi sebelum ini Negeri Kelantan telah memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan bagi tujuan untuk memastikan hiburan yang akan dianjurkan nanti wajib mengikut garis panduan syarak dan maqasid shariah serta sesuai dengan Dasar Membangun Bersama Islam dan gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah.

“Saya difahamkan program Budaya Komuniti Rabbani telah berada dalam keadaan siap sedia untuk dilaksanakan dengan menyediakan siri-siri kursus kepada pemimpin komuniti yang disasarkan. Oleh itu, saya berharap agar pemimpin komuniti dapat menghayati kesemua sembilan budaya yang menjadi teras kepada K-RABB) ini” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) di Grand Riverview, hari ini.

K-Rabb adalah salah satu program pembangunan insan yang bertujuan membina individu, keluarga dan masyarakat menjadi insan yang terbaik dan mampu menjadi contoh kepada komuniti lain. Ia mengandungi sembilan aspek atau budaya iaitu matlamat hidup kerana Allah dan Akhirat, mengutamakan ilmu fardhu ain, melazimi suruhan agama, beramal dan menyebarkan ilmu, pembudayaan amalan berguru, tanggungjawab keluarga, masyarakat dan Institusi, Amar maaruf nahi mungkar, cakna kepada realiti kehidupan dan kesahihan sumber Ilmu dan maklumat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAM) Dr Azizi Umar.