KOTA BHARU, 25 Jan: Inisiatif Program Bantuan Baja sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan telah bermula tahun 2010 lagi.
Menurut sumber yang dikeluarkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, perbelanjaan sejak 2013 sehingga Oktober 2022 ialah sebanyak RM 4.05 juta.
Bagi tahun 2022 sahaja, sehingga Oktober perbelanjaan yang direkodkan ialah sebanyak RM655,346 yang melibatkan 1,270 orang penerima baja padi dan 282 orang penerima baja organik.
Dalam pada itu, Exco Pertanian YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan baja padi dan baja organik bertujuan untuk membantu golongan pengusaha padi dan golongan petani miskin yang tidak mendapat bantuan baja daripada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan.
“Setiap pengusaha padi layak menerima baja Foliar atau baja penggalak padi sebanyak satu botol untuk satu ekar, manakala setiap petani layak menerima baja organik seberat 25 kilogram setiap beg sebanyak tiga beg baja per ekar dengan keluasan tanah maksimum tiga ekar atau bersamaan maksimum sembilan beg baja untuk seorang petani,” katanya ketika dihubungi hari ini.