Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan negeri anjur program sesuai dengan keperluan semasa anak muda – Exco Belia

78
SHARE

KOTA BHARU, 19 Jul: Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) sentiasa mengadakan program bersifat kepimpinan seperti townhall belia Kelantan, forum, seminar dan seumpamanya yang berkaitan dengan bidang politik.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, YB Saiful Adli Abu Bakar tentang usaha kerajaan untuk menarik golongan muda berumur 18 tahun memahami bidang politik, ekonomi dan sosial pada hari kedua Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Katanya, melalui Program Generasi Sejahtera Kelantan (Gentera), belia didedahkan dengan ilmu kepimpinan melalui modul, dasar Membangun Bersama Islam (MBI) merentasi falsafah Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan, pembelajaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengucapan awam melalui modul orator dan moderator.

“Pihak kerajaan juga mengambil inisiatif menubuhkan DUN Belia Kelantan melibatkan 45 anak muda mewakili 45 DUN yang terdiri daripada komuniti Gentera berkonsepkan kongres dijangka kembali bersidang selepas negeri dan negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Berhubung dengan ekonomi, kerajaan negeri melalui U-BeS merangka tiga strategi utama dalam mendedah dan memberi peluang kepada belia beliawanis menceburi bidang ekonomi,” katanya.

Strategi pertama katanya, Rangkaian Produk Mek Awey yang terdiri daripada tiga produk, iaitu Stesen Mek Awey, setakat ini empat Stesen Mek Awey telah beroperasi melibatkan DUN Pulai Chondong, Kelaboran, Tanjong Mas dan Panchor.

“Kiosk Mek Awey, berupa unit stall yang diberikan kepada 42 belia dan beroperasi di lokasi strategik. Cafe Mek Awey yang masih dalam perancangan berkonsepkan kedai kopi yang menepati citarasa anak muda dan masyarakat hari ini,” katanya.

Tambahnya, strategi kedua, Penubuhan Akademik Abdul Rahman Al Aufi (Akademi Al Aufi) yang kerajaan negeri melalui U-BeS sedang membangunkan premis kosong di tingkat tiga Bazar Tok Guru dengan mendapat kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Sebanyak 20 lot kedai di aras berkenaan diubah suai bagi menempatkan bilik untuk tujuan mengadakan kursus-kursus kemahiran dengan kerjasama pelbagai pihak, antara kursus yang bakal diadakan ialah kursus gunting rambut, kulinari, urutan, bekam dan sebagainya.

Manakala beberapa lot kedai disediakan kepada anak muda untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan beberapa inisiatif pihak kerajaan seperti sewaan lot kedai percuma bagi tempoh tertentu dan beberapa kemudahan fasiliti lain. Peserta dipilih dalam kalangan mereka yang mengikuti kursus di bawah Akademi Al Aufi sebelum daripada ini,” katanya.

Tambahnya, strategi ketiga ialah Program Penempatan Pekerjaan Industri yang mana U-BeS menjalinkan kerjasama melalui program tersebut dengan dua syarikat iaitu Syarikat Insan Inisiatif Sdn Bhd (Program Penempatan Pekerjaan Industri PPI) dan Syarikat Sei Ryu Sdn Bhd (PPI-A), industri berkaitan komponen kenderaan seperti industri suntikan plastik, mental stamping, computer numerical control (CNC) serta pengendalian mesin.

“Penempatan Pekerjaan Industri telah bermula tahun 2020 yakni satu program penempatan pekerjaan di industri-industri besar terutama di Shah Alam, Pulau Pinang dan Nilai. Antara industri yang terlibat dalam program ini ialah seperti Panasonic, Nestle, Yamaha, Perodua, Hi-Com, Maxter, Toyota dan seupamanya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, belia memaklumkan peserta yang tamat sesi taklimat akan mengikuti kursus pembelajaran sambil bekerja selama tempoh enam bulan dengan dibayar elaun bulanan antara RM1,500 ribu sehingga RM2,500 ribu.