Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan Kelantan sedia dedahkan Sibergogi kepada kanak-kanak

67
SHARE

Oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU, 26 Jul: Kepentingan pendedahan IT atau sibergogi kepada kanak-kanak menjadi agenda utama dalam Seminar Dasar Kanak-Kanak Fitrah Kelantan yang berlangsung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menyatakan, sekiranya kita tidak bersedia memberi pendedahan IT atau sibergogi kepada kanak-kanak, anak-anak akan berasa tertekan.

“Kita juga tertekan kerana tidak menjangka bahawa pada tahun 2021, kita akan berada dalam dunia PdPR bersama anak-anak.
Kes yang kita bimbang bukan pengabaian dari sudut makan minum sahaja, namun lebih kepada pengabaian dari segi perkembangan sosial sehingga boleh menyebabkan tekanan perasaan”, katanya kepada Pasukan Pelindung Kanak-kanak di setiap jajahan menerusi platform Zoom dan siaran atas talian di Facebook Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).

Berucap di majlis perasmian program anjuran U-KeKWA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan itu juga, Dato’ Mumtaz menegaskan, penting untuk membincangkan kebajikan kanak-kanak agar kita dapat mengklarifikasikan definisi taklif dan dewasa dari sudut syariat Islam dan Perlembangaan Malaysia.

“Di dalam Dasar Kanak-kanak Fitrah, kita telah mengandingkan Child Rights Convention Protocol (CRC) dengan kehendak yang diperlukan oleh Islam dalam pembinaan kanak-kanak”, katanya.
Beliau turut menyarankan agar keselamatan awam, gender, kemasyarakatan dan kepimpinan dalam kalangan kanak-kanak diberikan perhatian sewajarnya.