Home Berita PAS Kedah

Kerajaan Kedah mahu perkasa peranan masjid seperti di zaman Rasulullah

73
SHARE

Oleh HANIF HADZIR

ALOR SETAR, 5 Dis – Dalam peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W telah membina sebuah masjid di Kota Madinah, iaitu di perkampungan Bani Amru bin Auf. Pembinaan ini menjadi indikator utama bahawa syiar Islam pasti tertegak di sesuatu tempat dengan wujudnya masjid.

Sehubungan itu, peranan dan kedudukan institusi masjid di Kedah akan diperkasakan dalam usaha memangkin  pembangunan ummah, kata Exco Agama, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Muzakarah Imam di Dewan Ukir Mall, hari ini.

Progam itu menghimpunkan para imam zon utara dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi.

Najmi berkata, usaha itu akan digerakkan kerajaan negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah .

“Melihat kepada besarnya peranan dan kedudukan institusi masjid di dalam Islam, sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama, saya merasa terpanggil untuk merencanakan agenda pemerkasaan institusi masjid di negeri Kedah Darul Aman.

“Sebagai salah satu platform yang paling signifikan dengan pengurusan masjid-masjid di Negeri Kedah, saya memilih Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah untuk membantu melaksanakan agenda pemerkasaan ini demi agama dan umat Islam di negeri ini secara amnya.

“In Sya Allah pelbagai aktiviti dan program akan disusun secara bersama antara pejabat saya dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dalam memangkin keberkesanan penyampaian agenda pembangunan ummah melalui institusi masjid di masa hadapan,” katanya.

Najmi berkata, sebagai contoh, program pada hari ini yang diadakan bertemakan hubungan Imam dengan masyarakat dan penyampaian khutbah yang dinamik bertujuan memberi nilai tambah kepada para imam dalam membina hubungan dengan anak-anak kariah dari segenap aspek.

“Di samping itu, ia dapat meningkatkan mutu penyampaian khutbah agar mesej dan panduan keagamaan yang digarap di dalam khutbah,” katanya.