KOTA BHARU, 3 Oktober: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Kerajaan masih dan sedang bercadang untuk meneruskan pemberian bantuan kepada Jemaah haji, walaupun keadaan semasa masih lagi berdepan dengan kos pengurusan yang agak tinggi.
Katanya, kenaikan kos pengurusan tersebut termasuklah kos sewa penempatan, tambang penerbangan dan juga kenaikan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang telah dikenakan Kerajaan Arab Saudi yang sudahpun melebihi 15 peratus.
“Perkara ini menjadi keutamaan kerajaan, biarpun masih awal untuk diputuskan khususnya bagi membantu mereka untuk mengerjakan haji, termasuklah ditawarkan dengan bayaran yang penuh. Selain itu, bantuan yang diberikan ini juga berbeza mengikut peringkat, serta kumpulan, tetapi mana-mana jemaah haji yang ingin dibayar penuh, ia adalah sangat dialu-alukan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa, semalam.