Home Berita PAS Kedah

‘Kepala Air’ Gunung Jerai Melanda Taman Lembah Merbok.

189
SHARE

Oleh MOHD YUSOF

MERBOK, 19 Ogos : Hujan tidak lebat, tiba-tiba rumah dipenuhi air lumpur dari arah Gunung Jerai. Itulah dialami penduduk Taman Lembah Merbok yang terletak di bahagian bawah Sungai Tupah yang dilanda banjir lumpur petang semalam.

Tinjauan awal pagi ini di Taman Lembah Merbok mendapati penduduk mencuci rumah mereka yang dipenuhi lumpur dalam kejadian kira-kira lima petang semalam.

Seorang penduduk, Rosaidi Saad, 35, berkata, air datang secara tiba-tiba memasuki rumah. “Banyak peralatan rumah rosak kerana air sedalam paras lutut memenuhi ruang rumah. “Paling teruk kawasan rumah di bawah yang sehingga paras pinggang air naik, ” katanya.

Beliau yang juga anggota tentera di kem Sungai Layar berkata, inilah pengalaman paling ngeri pernah dialami, datang hanya lima minit tapi meninggalkan kesan yang cukup teruk. Kebanyakan penghuni Taman Lembah Merbok terdiri daripada anggota tentera yang bertugas di Sungai Petani.

Dalam kejadian yang dikenali ‘Kepala Air’ dari Gunung Jerai melalui Sungai Tupah di kawasan Kem Pasukan Gerakan Am terus melanda Taman Lembah Merbok. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.