Home Uncategorized

Kenyataan Pesuruhjaya Kedah

3319
SHARE

TAHNIAH UniSHAMS – KESUNGGUHAN AL-MARHUM TAN SRI USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK MENJADI KENYATAAN.

1. Usaha memartabatkan institusi pendidikan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bertaraf universiti penuh yang dicita-citakan oleh Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan bin Abdul Razak, akhirnya menjadi kenyataan apabila KUIN sekarang ini dikenali dengan nama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau singkatannya UniSHAMS.

2. Al-Marhum Ustaz Azizan berpandangan bahawa pengiktirafan sesebuah universiti penuh hendaklah mengambil kira kapasiti jumlah pelajar, prasarana bangunan pentadbiran serta fakulti-fakulti dan para pensyarah yang berketerampilan.

3. Usaha ke arah mendapatkan pengiktirafan tersebut dimulai dengan meningkatkan jumlah pelajar, kakitangan akademik dan pentadbiran serta mempelbagaikan program ijazah yang ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan.

4. Seiring dengan hasrat mengangkat KUIN sebagai sebuah universiti penuh, pihak kerajaan pimpinan Al-Marhum telah berusaha mendapatkan lokasi strategik bagi pembinaan kampus tetap, iaitu di Kuala Ketil. Kampus tersebut siap dalam tempoh yang ditetapkan dengan jumlah kos pembinaan RM 330 juta. Pada ketika itu, bilangan pelajar yang mendaftar mencecah 8,000 orang dengan tawaran 47 jenis program.

5. Syarat dan kriteria untuk mendapatkan taraf universiti penuh yang ditetapkan oleh kementerian, antaranya yang melibatkan kampus induk, jumlah pelajar, kursus yang ditawarkan, bilangan pensyarah, kelayakan tenaga pengajar dan lain-lain, membuat Al-Marhum Ustaz Azizan bekerja keras melonjakkan semua aspek berkenaan dapat disediakan agar menjadi landasan untuk membolehkan KUIN bergerak kepada sebuah universiti penuh.

6. Oleh itu, menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri Kedah dan pengurusan pentadbiran UniSHAMS untuk mengekalkan kualiti pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar sejajar dengan matlamat penubuhan universiti sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia serta menjadi pilihan pertama para pelajar melanjutkan pengajian.

7. Selain itu, pihak pengurusan akademik juga perlu meningkat usaha meletakkan nama UniSHAMS sebaris dengan universiti-universiti tempatan atau sekurang-kurangnya menyaingi pencapaian penarafan 4 tier yang diperolehi oleh KUIN sewaktu dibawah pemerintahan kerajaan PAS bersama Pakatan Rakyat.

8. Dalam hal ini, PAS berpendirian bahawa sektor pendidikan adalah sejuzuk daripada agenda utama melahirkan rakyat negeri bertamadun yang mesti diberikan keutamaan. Contoh yang jelas adalah kelahiran UniSHAMS. Bagi PAS, ‘Rakyat unggul Kedah gemilang’.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN BIN SHEIKH FAKHRURAZI
PESURUHJAYA PAS KEDAH
11 Februari 2018