KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT
SIASAT SEGERA SKANDAL FELDA
1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengganggap kes berkaitan pindahmilik tanah milik FELDA di Jalan Semarak tanpa sebarang pembayaran adalah kes ‘straight forward’ dan tidak memerlukan langkah yang sulit termasuk RCI untuk diselesaikan.
2. PAS merasakan langkah yang perlu diambil oleh pihak berkuasa terutama PDRM dan SPRM adalah melihat dan mengkaji dengan teliti kronologi yang berlalu sehingga menyebabkan pindahmilik tanah tersebut dibuat kepada syarikat Synergy Promenade Sdn. Bhd. yang dikarakan dilaku pada tahun 2015. Antara yang perlu dikaji dengan teliti adalah Keputusan Lembaga Pengarah FELDA, Perjanjian yang berkaitan antara FELDA dengan syarikat berkenaan, transaksi pindahmilik tanah kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian.
3. PAS yakin kesediaan Pengerusi FELDA untuk membuka pintu FELDA bagi disiasat berkaitan isu ini harus menjadi pemudahcara kepada siasatan yang perlu dijalankan secara telus dengan ‘without fear or favour’. Ini juga membolehkan siasatan dibuat dengan cepat memandangkan isu ini berkepentingan awam dan melibatkan stakeholder yang besar terutama di kalangan peneroka FELDA dari generai warisan mereka.
4. PAS juga mengharapkan siasatan terperinci kes tersebut turut memungkinkan pembongkaran ‘skandal’ lain yang melibatkan FELDA serta anak-anak syarikatnya. Dengan ini FELDA sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadai ataupun kelompok-kelompok tertentu.
Terima kasih.
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung.
Bertarikh: 25 Disember, 2017.