Home Khas

Kenyataan Media PAS Pusat: Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis

951 views
SHARE


KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

PILIHAN RAYA KECIL DUN SUNGAI KANDIS

PAS mengekalkan pendiriannya dengan tidak menurunkan jentera pilihan raya di PRK Sungai Kandis sebaliknya meneruskan program yang dirancang bagi mengukuhkan parti pasca PRU14 sebagai persiapan menghadapi PRU15.

Pendirian PAS juga berasaskan kepada perlunya proses semak dan imbang dalam Kerajaan Negeri Selangor yang hanya boleh dimainkan oleh pihak pembangkang. Manakala pertimbangan utama PAS adalah supaya kepentingan Islam/Melayu serta masa depan negara dapat dijamin serta dilaksanakan oleh kerajaan PH.

Dalam konteks PRK Sungai Kandis juga keputusan PAS tidak memberikan sokongan kepada Kerajaan PH adalah sebagai suatu mesej bahawa mereka telah gagal menunaikan beberapa janji manifesto malah gagal memberi jaminan bahawa institusi Islam, Raja-raja Melayu dan kepentingan orang Melayu tidak terancam.

Oleh itu, kenyataan beberapa pimpinan PAS semasa mengisi program yang diatur oleh PAS termasuk di kawasan Sungai Kandis adalah tidak bercanggah dengan pendirian parti sebagaimana di atas.

PAS juga akur serta menerima penuh pandangan Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS dalam nasihatnya kepada pengundi Sungai Kandis supaya jangan memilih calon dari parti yang dilihat boleh membawa kemudaratan kepada Islam, rakyat dan negara.

Justeru, berdasarkan senario di atas, saya menyeru semua pengundi di Dun Sungai Kandis terutama dari kalangan ahli dan penyokong PAS supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan jangan sekali-kali menyebabkan undi rosak.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 19 Zulkaedah 1439 / 1 Ogos 2018