Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Pelancaran Buku Hijau : Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Bagi Premis PAS

1886
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
10 Oktober 2017 | 19 Muharam 1439

PELANCARAN BUKU HIJAU: KESELAMATAN, KESIHATAN & PERSEKITARAN BAGI PREMIS PAS

1. 14 September 2017 merupakan satu tarikh hitam kepada rakyat Malaysia. Tragedi Darul Quran Ittifaqiyah dibakar mengundang pelbagai tohmahan dan iktibar yang perlu diambil tindakan lanjut. PAS sebagai sebuah jemaah tarbiah, dakwah dan politik juga memiliki ratusan premis yang memerlukan perhatian terhadap isu keselamatan yang terdiri dari PASTI, SRITI, Markaz, Pejabat PAS Negeri dan pelbagai lagi premis.

2. Lanjutan itu, satu Jawatakuasa Kerja telah ditubuhkan di bawah Jabatan Profesional Muda (JPro), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bagi menghasilkan buku panduan berkenaan isu keselamatan, bahkan lebih meluas lagi meliputi kesihatan dan persekitaran atau lebih dikenali sebagai (health, safety, security & environment – HSSE). Jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang keselamatan, kesihatan dan persekitaran akan menghasilkan sebuah dokumen rasmi bagi memperbaiki amalan HSSE sedia ada dan rujukan ahli PAS yang dinamakan ‘Buku Hijau: Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan’ di premis Parti Islam Se-Malaysia.

3. Jawatankuasa ini diketuai oleh Haji Shahrul Nizam Nordin yang merupakan perunding, jurulatih dan pakar teknikal di sebuah institusi keselamatan dan kesihatan. Manakala Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid selaku Pengarah JPro akan bertindak sebagai Penasihat.

4. Buku Hijau ini bertujuan bagi membudayakan amalan HSSE ke dalam hati setiap ahli PAS. Budaya keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan, dan persekitaran diharapkan dapat disemat bukan sahaja di tempat kerja, tetapi juga di dalam diri dan keluarga setiap ahli PAS. Buku Hijau ini juga ditawarkan kepada pihak berkaitan yang berminat untuk meningkatkan amalan HSSE di organisasi dan premis masing-masing.

5. Buku Hijau ini merupakan blueprint panduan teknikal yang akan dilaksanakan secara berperingkat di premis-premis PAS. Perlaksanaan secara komprehensif akan meliputi beberapa fasa. Bermula dengan penggubalan panduan keselamatan mengikut neraca perundangan dan amalan terbaik industri, pemeriksaan dan mengenalpasti risiko bahaya, latihan kepada ahli yang terlibat, memperkasakan sistem HSSE di setiap premis, pemantauan dan audit yang berkala dan seterusnya peningkatan HSSE yang berterusan.

6. PAS sangat komited dan berusaha agar sistem keselamatan, kesihatan dan persekitaran di setiap premis yang diselenggarakan oleh PAS dan ahli PAS mencapai piawaian yang ditetapkan, dan seterusnya memelihara nyawa, aset dan persekitaran (PEAR: People, Environment, Asset & Reputation) serta dapat dijadikan ikutan oleh institusi lain.

7. Buku Hijau : Keselamatan, Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan bagi Premis Parti Islam SeMalaysia ini diharapkan akan menjadi titik tolak dalam menjaga kebajikan ahli PAS khasnya, seterusnya rakyat Malaysia amnya. Sebuah Dokumen Hijau yang tertumpu kepada HSSE dan PEAR juga bakal dibangunkan sebagai tawaran penyelesaian untuk Malaysia yang lebih sejahtera.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia