Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Pekerja Asing Diutamakan, Belia Negara Dibiarkan Menganggur”

1675
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
18 Oktober 2017 | 27 Muharam 1439

“PEKERJA ASING DIUTAMAKAN, BELIA NEGARA DIBIARKAN MENGANGGUR?”

1. Kerajaan perlu melihat kebanjiran pekerja asing dan pengangguran tinggi kalangan belia dalam negara ketika ini dengan lebih serius, seterusnya menggubal dasar yang objektif ke arah penyelesaiannya. Apatah lagi pengambilan pekerja asing kini dilihat telah menjadi kebergantungan besar oleh para majikan terutama di sektor swasta.

2. Sedangkan, kebenaran diberikan kerajaan untuk mengambil pekerja asing hanyalah sebagai langkah jangka pendek atau ‘interim solution’. Terutama dalam menangani masalah tenaga kerja berkemahiran rendah yang sangat kurang (labor crunch). Ia sangat dirasai di sektor utama ekonomi negara khususnya pembuatan, pertanian dan pembinaan.

3. Ketiga-tiga sektor ini telah mencatatkan sumbangan besar hampir RM300 bilion atau mewakili satu pertiga dari keseluruhan KDNK dalam negara pada tahun 2015. Ini sekali gus menunjukkan kerajaan mempunyai ‘kepentingan’ yang mungkin menjadi faktor dorongan kebergantungan langsung negara kepada penggunaan tenaga kerja asing.

4. Keadaan diburukkan lagi apabila kerajaan sendiri tidak konsisten dalam polisi pengambilan pekerja asing. Ini sepertimana perubahan tanggungjawab bayaran levi pengambilan pekerja asing daripada majikan kepada pekerja, kemudian ditukar kepada majikan semula. Ini mengesahkan kecelaruan polisi yang dilaksanakan berkaitan pekerja asing.

5. Kebuntuan kerajaan menangani perkara ini telah menimbulkan pelbagai implikasi negatif yang turut menjalar kepada sosio-budaya, keharmonian serta keselamatan negara. Disebalik kebergantungan kepada tenaga kerja asing terutamanya oleh sektor swasta, konflik berlaku apabila pelbagai ancaman dan punca masalah sosial banyak direkod melibatkan golongan ini.

6. Menurut laporan Parlimen, jumlah terkini pekerja asing berdaftar adalah seramai 1.78 juta. Lebih menggerunkan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan jumlah pekerja asing tidak sah pula mencecah dua kali ganda angka tersebut. Ketidakpastian jumlah tersebut berpunca dari tindakan majikan ‘menyorokkan’ pekerja asing yang diambil secara haram.

7. Sasaran untuk menghadkan pengambilan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus atau menyamai 2.1 juta daripada jumlah tenaga kerja (labor force) seperti terkandung dalam RMK11 (2016-2020) juga dilihat jauh dari menepati sasaran. Tekanan sektor swasta dilihat punca dolak dalih kerajaan untuk menggapai angka berkaitan atau bertegas mengenainya.

8. Sewajarnya perhatian kritikal dan utama diberikan terhadap kadar pengangguran tinggi kalangan belia negara. Di mana Laporan Tahunan Bank Negara 2016 menyatakan 10.7 peratus belia di negara ini masih menganggur pada tahun 2015 iaitu tiga kali ganda lebih tinggi dari kadar nasional. Jangan jadi seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia