Home Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Malaysia Boleh Rungkai Larangan Bertudung Pekerja Hotel”

4294
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
12 November 2017 | 23 Safar 1439

“MALAYSIA BOLEH RUNGKAI LARANGAN BERTUDUNG PEKERJA HOTEL”

1. Larangan memakai tudung termasuk ke atas pekerja muslimah oleh pihak hotel dengan alasan ia polisi antarabangsa adalah pegangan tipikal dan ‘primitif’. Sewajarnya pihak berkenaan tidak menjadikannya sebagai kongkongan dalam realiti kepelbagaian agama, budaya, adat dan bangsa di dunia.

2. Inilah masanya para pengendali hotel Malaysia menunjukkan jalan keluar yang sederhana betapa hak mengamalkan ajaran agama atau kepercayaan tidak harus dibatasi. Kita boleh menjadi contoh dan perintis terhadap perkara ini, sekali gus memberi penghormatan terhadap banyak pihak.

3. Terutama kepada kaum wanita dan umat Islam yang kini merupakan penghuni teramai atas muka bumi. Malah, pemakaian tudung dilihat tidak memberi sebarang implikasi negatif kepada sektor tersebut. Sebaliknya larangan atau polisi yang ada pula tidak punya hujah kukuh untuk diaplikasikan.

4. Biarpun dinafikan ianya bukan diskriminasi dan Islamofobia, tetapi itulah hakikat sikap dunia berkepentingan hari ini yang tidak boleh diselindungkan. Maka kita bergerak atas kefahaman dan sensitiviti kita sendiri dengan memberikan hak kepada kalangan yang sepatutnya.

5. Kami menggesa pihak kerajaan terutama kementerian dan jabatan berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk melakukan pembaharuan pelaksanaannya di negara ini. Seterusnya merungkai isu ini ke peringkat antarabangsa sebagai satu perjuangan terhadap hak asasi beragama dan kepada kaum wanita.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia