Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

“Kami Prihatin Kesihatan Anda” di Bumi Kenyalang

948
SHARE

Beting Maro, 12 November 2017 – Ahamdulillah, selesai tugasan Misi Banjir di Pulau Pinang, Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) meneruskan langkah menunaikan tanggungjawab misi seterusnya di Bumi Kenyalang, Sarawak. Kehadiran pasukan Skuad Prihatin LKK DMPM disambut mesra oleh penduduk Kampung Pusa semalam 11 November 2017. Turut serta bersama-sama rombongan Skuad Prihatin LKK DMPM, ialah Dr. Hani Ali, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Puan Hafizah Fadzil, Penolong Setiausaha I DMPM, Dr. ‘Uyun Abdul Malek, Pengerusi LKK DMPM dan Saudari Nuri Muhammad, Pengarah Briged Muslimat Malaysia.

Program “Kami Prihatin Kesihatan Anda” berada di Beting Maro, Sarawak selama 2 hari ini semenjak semalam mendapat sambutan yang sangat meriah dari penduduk kampung. Seramai 6 orang Doktor dari Muslimat Medic Team (MusMedik) LKK DMPM dan LKK Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) bekerjasama memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung selama 2 hari ini.

Seramai 4 orang Doktor membuat pemeriksaan kesihatan secara statik dan dua di antaranya adalah Doktor Gigi dan seorang Pegawai Optometrist. Justeru itu, selain pemeriksaan kesihatan, penduduk kampung juga berpeluang membuat pemeriksaan gigi dan mata secara percuma. Manakala seorang lagi Doktor membuat pemeriksaan kesihatan secara bergerak dari rumah ke rumah. Selain itu, program yang telah berlangsung semalam, sebanyak 5 buah rumah telah pun diziarahi.

Lokasi Program “Kami Prihatin Kesihatan Anda” ini diadakan di 2 lokasi iaitu di Kampung Tambak Tengah yang telah berlangsung semalam. Dilaporkan seramai kira-kira 40 orang penduduk telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi dan mata secara percuma. Manakala, seramai 47 orang penduduk di Kampung Spinang juga mendapat perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, gigi dan mata secara percuma pada sepanjang hari ini.

Turut hadir meninjau semasa program ini dijalankan ialah Tuan Hj Khairul Ismail, selaku Timbalan II Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Bintulu dan Encik Zharudin Narudin, Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Sarawak merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Skuad Prihatin LKK DMPM meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Illahi atas kelancaran program “Kami Prihatin Kesihatan Anda” selama 2 hari ini. Penghargaan juga kepada seluruh penggerak PAS Negeri Sarawak dan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak serta seluruh penduduk Beting Maro atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Tidak lupa juga kepada semua penyumbang-penyumbang yang dermawan yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini. Hanya Allah yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat.

Siiru ‘ala barakatillah

“Kami Prihatin”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
“Sejahtera Bersama Islam”