Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA DPPM | Kerajaan Sendiri Penyebab Bahasa Melayu Diremehkan

669
SHARE


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
6 Julai 2017 | 12 Syawwal 1438

“KERAJAAN SENDIRI PENYEBAB BAHASA MELAYU DIREMEHKAN”

1. Langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara kontrak hampir menjadi ‘tragedi’ yang berpunca dari sikap kerajaan sendiri. Pihak kerajaan yang memulakan tindakan merendahkan martabat Bahasa Kebangsaan sebagai identiti sebenar bangsa dan negara.

2. Syarat oleh JPA itu hakikatnya adalah ‘jelmaan’ dari pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Program Dwi Bahasa (DLP). Malah, sekiranya tidak dibendung atau dihentikan segera, ia akan menular kepada tuntutan lain yang mahu mengesampingkan atau meremehkan kepentingan BM.

3. Sewajarnya dalam konteks pembinaan bangsa dan negara, soal ini tidak perlu dirobek dan dikompromikan lagi. Ia wajib berdiri sebagai ketetapan yang tidak harus digugat oleh sebarang keperluan. Sepatutnya, setiap pelaksanaan di dalam seluruh rangkaian sistem dan polisi harus berpaksikan kepada BM sebagai syarat dan keperluan utama yang dipertegaskan.

4. Ketidakselarasan penjelasan yang berlaku antara JPA, Kementerian Kesihatan dan Ketua Setiausaha Negara juga merupakan hiruk pikuk memalukan. Ia seakan mengulang pembatalan oleh Kementerian Kewangan terhadap senarai 60 barangan yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia baru-baru ini.

5. Perkara melibatkan dasar negara dan kepentingan awam tidak harus menjadi pertaruhan atau tidak acuh dalam menanganinya. Ia juga sama sekali perlu dijauhi dari eksperimen politik dan dwi-standard yang mengundang ketidaksaksamaan dan ketidakharmonian. Jangan nanti kerajaan dilihat seperti ‘ketam mengajar anaknya berjalan’.

6. Oleh itu kami mengharap agar perkara ini menjadi pengajaran berguna buat kerajaan dan segera memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta tidak ‘memangsakan’ perkhidmatan dan penjawat awam atau pihak terlibat. Bagaimanapun langkah pembetulan oleh Kabinet mempertegaskan syarat wajib lulus sebagaimana diumumkan Menteri Kesihatan amat-amat dialukan.

7. Sebagai saranan terhadap masalah yang telah berlaku, kami syorkan supaya pihak kerajaan menyediakan mekanisme dan prasarana atau kemudahan bagi membolehkan peperiksaan berkaitan diadakan pada masa dan lokasi lebih banyak. Antaranya ditawarkan dua kali setahun dan dijalankan juga di premis Kedutaan Malaysia di luar negara bagi calon-calon di sana.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia