Home Surat Pembaca

Melestari Bahasa Ibunda

282
SHARE

MELESTARIKAN BAHASA IBUNDA

NILAI.

Bahasa bukan sekadar jiwa bangsa. Bahkan ia merupakan kunci membina tamadun dan simbol kuasa sesebuah bangsa.

Dengan bahasa jugalah, penjajahan berlaku. Tidak pelik jika Barat cuba menyeragamkan Bahasa Inggeris ke serata dunia. Bagi mereka, itu merupakan simbol kuasa dan akses doktrin mereka ke atas bangsa lain.

MENGAGENDAKAN BAHASA MELAYU.

Sepatutnya kita ilmukan Bahasa Melayu. Aneh kadang-kadang sesama masyarakat kita bercakap dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan masing-masing berbangsa Melayu atau berkerakyatan Malaysia. Adakah ini sebagai kebanggaan atau kebodohan?

Sewajarnya kita kuasai bahasa asing untuk meneroka ilmu asing. Kemudian terjemahkan ilmu asing tersebut kepada bahasa ibunda kita. Demikian merupakan formula menjadi sebuah negara dan bangsa yang beridentiti. Itu jugalah sejarah penterjemahan yang mengkayakan tamadun Islam.

Lihat negara-negara kuasa besar, sedaya-upaya mempertahankan bahasa mereka walaupun berada di dalam persidangan antarabangsa. Mereka bukan tidak tahu berbahasa asing yang lebih kelihatan dominan.

Sebaliknya mereka cukup sedar nilai bahasa ibunda yang mengidentitikan mereka. Bangga dengan bahasa sendiri. Mereka faham konsep bahasa asing cukup sebagai komunikasi dan bahasa sendiri sebagai identiti yang perlu dipertahankan.

Kadang-kadang amat menjengkelkan dan aneh melihat segelintir orang yang asalnya elok bertutur dalam bahasa Melayu, tiba-tiba berbahasa Inggeris semata-mata ingin menunjukkan bahawa dia sedang serius. Seolah-olah dengan Bahasa Melayu, dia kelihatan abdi berkasta rendah.

BERPADA.

Betapa masyarakat Melayu berbudi pekerti. Sehingga apabila berbual dengan bangsa lain, terus meniru lenggok pelat bahasa bangsa lain. Berbual dengan Cina, terus buat pelat Cina. Berbual dengan India, terus buat pelat India.

Ramah meraikan orang lain. Rasanya sifat santun dan ramah ini tiada pada bangsa lain. Namun boleh jadi kelebihan ini bertukar menjadi kelemahan hingga menghakis jatidiri.

PENCEMARAN BAHASA.

Saban tahun kita menyaksikan kualiti penguasaan Bahasa Melayu semakin merosot. Pemimpin negara tidak dilihat serius mahu menobatkan Bahasa Melayu. Bermula dari ucapan yang mereka tuturkan hinggalah ke sektor pembelajaran aturan mereka.

Ditambah lagi cara komunikasi di dalam media sosial yang bebas tidak berektika menyumbang kepada pencemaran bahasa.

RETORIK YANG MEMUALKAN.

Ramai yang bercakap soal menyayangi Bahasa Melayu. Persoalannya apakah itu hanya gimik yang retorik? Sudahlah tulisan jawi yang berfungsi memesrakan orang Melayu dengan ilmu Islam tidak dipertahankan. Kini Bahasa Melayu milik Malaysia sendiri sekali lagi berdepan dengan risiko untuk dikesampingkan.

Pilih mahu jadi bangsa yang berjatidiri atau bangsa yang mengalami krisis identiti.

Abdul Mu’izz Muhammad
5 Julai 2017

{jathumbnail off}