KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
27 Julai 2017 | 3 Zulkaedah 1438
“ASIMILASIKAN PEMBANGUNAN PANTAI UMBAI TANPA ADA YANG TERKORBAN”
1. Aktiviti penambakan laut dan menyedut pasir yang akan menjadi sebahagian kerja pembangunan sekitar Pantai Umbai, Serkam, Jasin dilihat sebagai perancangan penuh persoalan terhadap kepentingannya kepada negeri Melaka.
2. Ini kerana status akhir usaha itu direkodkan masih tidak mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Alam Sekitar. Malah, pembangunan menggunakan kawasan seluas 450 ekar itu juga tidak dipastikan kelulusannya dari Majlis Perancangan Fizikal Negara.
3. Selain bakal mengganggu keseimbangan kelestarian ekosistem laut, paling dikhuatiri ia akan memberi kesan negatif kepada nelayan kecil yang bergantung hasil pendapatan daripada aktiviti perikanan sekitar pantai tersebut.
4. Malah, pembangunan oleh pihak pemaju dilihat menyebabkan kemungkinan orang awam hilang akses kepada laut dan pantai. Sedangkan, kawasan itu antara tumpuan pelancong ke Melaka, khususnya popular untuk menikmati makanan laut.
5. Kerajaan Negeri Melaka perlu mengambil iktibar dari kesan dihadapi nelayan di Balik Pulau, Permatang Damar dan Batu Maung di Pulau Pinang yang terjejas akibat aktiviti tambakan laut. Perkara sama juga sebagaimana di Senibong, Permas Jaya, Johor.
6. Kecuali jika sekiranya hak rakyat bawahan seperti mereka tidak lagi menjadi kepedulian. Kami difahamkan, hasil tangkapan mereka merosot teruk kesan dari arus laut berubah, pokok bakau musnah dan pengaliran sungai menyebabkan air kotor serta berlumpur.
7. Sedangkan kawasan perikanan nelayan di sekitar itu difahamkan dipenuhi dengan habitat belangkas, kupang, kerang, udang dan ketam yang kini akan semakin terancam oleh aktiviti pembangunan tersebut. Oleh itu, pembangunan secara mapan tanpa menjejaskan alam wajib dilakukan.
8. Pembangunan perlu diadakan tanpa mengorbankan hak, kepentingan, keharmonian dan kebersamaan dengan pihak lain. Lebih-lebih lagi penduduk selaku ‘tuan’ asal yang selama berketurunan telah bermastautin di situ. Sosio budaya dan segala landskap masyarakat tidak harus dikorbankan.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia