Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Saad Bin Abi Waqas

15673
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 26)

Saad bin Abi Waqqas
 The Sharpshooter 

Datuknya merupakan Uhaib bin Abdul Manaf, bapa saudara kepada ibu Nabi SAW, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf. Oleh itu beliau menjadi dua pupu kepada Rasulullah SAW.

Sejak kecilnya, beliau tidak begitu berminat untuk bermain seperti rakan sebayanya. Sebaliknya hobi beliau adalah memanah. Dari kecil lagi beliau berkecimpung dalam dunia memanah. Beliau gemar membuat anak panah dan membetulkannya. Beliau juga mahir membuat busur. Di samping itu saad sering berlatih memanah, seolah-olah dia sedang menyiapkan dirinya untuk satu urusan besar.

Saad adalah orang keempat memeluk Islam. Beliau memeluk Islam ketika umurnya baru sahaja menjengah ke 17 tahun. Namun kisah keislamannya amat dramatik dan menarik untuk dikongsikan.

Daripada kecilnya lagi, beliau sudah tidak menggemari agama anutan kaum dan nenek moyangnya. Beliau sering menjauhkan diri setiap kali upacara keagamaan dilakukan. Tuhan gerakkan hatinya untuk mencari jalan yang benar.

Pada suatu malam beliau telah bermimpi dirinya lemas dalam lautan kegelapan yang amat tebal. Ketika beliau cuba berenang menyelamatkan diri, beliau ternampak cahaya bulan menyinar. Beliau mengikut cahaya tersebut dan melihat terdapat tiga orang lelaki, terlebih dahulu mendahuluinya mengikut cahaya itu. Orang itu adalah Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib dan Abu Bakar As-Siddiq.

Bila Saad terjaga dari tidur dan hari bertukar siang, beliau menerima berita bahawa Muhammad telah membawa agama baharu secara rahsia. Tanpa berlengah beliau pergi mencari Muhammad sehingga berjumpa di lorong ‘Jiyad’. Ketika itu baginda sedang menunaikan solat Asar.

Saad memberi salam. Lalu keluar beberapa orang kepadanya. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati yang datang itu adalah tiga orang yang dilihat di dalam mimpi tersebut!

Setelah mendengar sedikit penjelasan, beliau terus meyakini itulah agama sebenar yang selama ini dinanti-dinantikan.

Malangnya, keislaman Saad tidak menggembirakan ibunya. Bahkan ibunya menjadi begitu marah dengan Saad sehingga berkata:
“Wahai Saad! Agama apa yang kau anuti ini sehingga kau sanggup tinggalkan agama ibu dan bapamu?! Aku bersumpah kalau kau tidak meninggalkan agama itu, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati! Biar kau rasa bersalah seumur hidupmu. Biar kau menyesal. Biar orang mencerca perbuatanmu selama-lamanya”

“Jangan begitu ibu. Aku tidak akan meninggalkan agama ini walau apapun..” Rayu si anak kesedihan.

Tetapi ibunya tetap dengan sumpahnya. Dia langsung tidak makan dan minum sehingga lemah tubuh badannya dan kurus kering badannya.

Saad pula tidak jemu pergi kepada ibunya menyediakan makanan. Beliau terus merayu dan berusaha memujuk si ibu menjamah sedikit makanan atau minuman. Beliau sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai anak walaupun si ibu berkeras dengan kekufuran dan membenci perbuatannya.

Akhirnya satu hari Saad berkata pada ibunya:
“Wahai Ibu. Sungguh aku kasih padamu, dan aku juga kasih pada Allah dan Rasul. Ketahuilah, sekalipun tuhan memberikan kamu 1000 nyawa, dan nyawa itu melayang satu demi satu, aku tetap tidak akan berganjak dari agamaku..”

Setelah melihat ketegasan Saad, si ibu akur dan mengalah. Akhirnya dia menjamah juga makanan dan minuman yang disediakan.

Ketika itu turunlah ayat Allah SWT:

Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesakmu supaya mempersekutukanKu sesuatu yang engkau tidak mengetahui (ada selainKu), maka janganlah engkau taat kepada mereka; dalam masa yang sama dampingilah mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu. Kepada Aku tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
[Luqman:12]

Rupa-rupanya Allah telah menyediakan diri Saad sebagai pejuang Islam sejak dari kecilnya lagi. Apabila memeluk Islam, Bakat Saad dalam dunia memanah telah digunakan untuk kepentingan Islam. Nabi SAW pernah berdoa kepada Saad:
“Ya Allah, tepatkanlah panahannya, dan perkenanlah doanya.”

Dalam perang Uhud, ketika Rasulullah diserang oleh tentera musyrikin, beliau salah seorang yang melindungi baginda SAW. Beliau menggunakan panahnya menembak musuh-musuh yang cuba mara. Tidak akan satupun dari tembakannya yang tersasar. Semuanya tepat.

Baginda SAW menyaksikan kehebatan beliau ketika itu. Lalu baginda terus memberi semangat dengan bersabda:
“Panah wahai Saad. Panahlah! Aku sanggup jadikan ibu bapaku tebusan demi dirimu!”

Terbukti Saad memiliki kekuatan fizikal dan juga spiritual. Kisah beliau dan ibunya membuktikan kekuatan spiritualnya, manakala kisah beliau di medan perang membuktikan kekuatan fizikalnya. Dengan kelebihan yang ada , tidak hairanlah beliau turut tersenarai antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.

Ketika umat Islam meluaskan empayarnya ke wilayah Rom, khalifah pada waktu itu iaitu Saidina Umar mendapati ancaman yang cukup besar dari kerajaan Parsi. Tentera Islam pada peringkat awal telah dikalahkan oleh Parsi. Ini memaksa Saidina Umar untuk keluar memimpin sendiri tentera Islam membuka wilayah-wilayah Parsi.

Malangnya hasrat beliau dihalang oleh para sahabat, kerana peranan beliau lebih diperlukan untuk mentadbir pemerintahan umat Islam keseluruhan. Apabila Saidina Umar bertanya siapa yang lebih layak menggantikan beliau ke Parsi, Abdurrahman bin Auf menjawab:
“Singa Yang Mencakar, Saad bin Abi Waqqas.”

Para sahabat terus bersetuju dengan cadangan itu. Dan pilihan mesyuarat itu sangat tepat. Dalam masa yang singkat, sebuah empayar kejam yang memiliki kekuasaan yang sangat besar daripada semenanjung Arab, ke Asia Tengah di perbatasan Russia hinggalah ke perbatasan China telah berjaya dijatuhkan. Raja mereka yang sangat zalim, Rostam berjaya dibunuh dan tentera Parsi menyerah kalah di tempat sendiri. Semuanya di bawah kepimpinan panglima yang kental imannya, hebat percaturannya dan tepat panahannya, Saad bin Abi Waqqas.

Jika dinilai dari sudut logik dan materialistik, tiada apa-apa pun kelebihan yang dimiliki oleh orang Islam. Bilangan mereka sedikit, kelengkapan mereka kurang, tamadun mereka terkebelakang, sumber hasil bumi sedikit, dan mereka tidak pernah ada pengalaman menakluk kekuasaan yang besar. Tetapi sejarah menunjukkan dalam masa yang pantas, umat Islam berjaya membangunkan sebuah kekuasaan yang hebat, menewaskan kedua-dua kuasa besar utama dunia pada waktu itu, Rom dan Parsi serta membawa manusia ke arah peradaban baharu dunia, daripada era kuno ke era moden. Daripada era pedang dan perang, kepada era buku dan pena, era sains dan kebijaksanaan.

Ketahuilah bahawa kegemilangan umat Islam adalah berpunca dari keimanan yang mereka miliki. Iman seteguh Saad yang juga dimiliki oleh sahabat di bawah tarbiah Rasul SAW telah mengizinkan pertolongan Allah tiba, membantu umat Islam berhadapan dengan semua yang menghalang cita-cita murni menyelamatkan manusia dengan cahaya agama ini. Ketahuilah, dengan bantuan Allah, tiada sesiapa mampu menandingi.

Tidak mustahil era kegemilangan umat Islam bakal berulang. Asalkan para pejuang Islam memperteguhkan iman mereka seteguh para anbiya` dan sahabat, mencintai akhirat abadi melebihi dunia sementara, mengutamakan Allah, Rasul dan orang beriman mengatasi semua yang lain, serta sanggup mengorbankan semua nikmat kurniaan tuhan, semata-mata mengharapkan redha Yang Maha Tinggi.

26 Ramadhan 1438
21 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

*artikel ini atas sama sekali tidak mewakili pendirian media DUPP.

{jathumbnail off}