KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK
6 Disember 2021M | 1 Jamadil Awaal 1443H
HARGA BARANG : HAPUSKAN “MONOPOLI”, RAKYAT TERBELA
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh Dewan Pemuda PAS Malaysia yang menggesa kerajaan supaya membanteras ‘orang tengah’ dalam segala rantaian pengeluaran barang makanan dalam menangani kenaikan harga barang ketika ini.
Kenaikan harga barang yang tidak terkawal mengakibatkan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat kerana terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan boleh mengundang kegiatan jenayah termasuk ragut, rompakan, keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial.
Dari segi ekonomi Malaysia yang sangat terdedah dengan konsep “al-ihtikar” (monopoli barang keperluan) akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan terus dihimpit kemiskinan. Tambahan pula kemungkinan hanya pihak tertentu yang diberikan permit kebenaran dalam urusan dagangan import eksport boleh mewujudkan monopoli.
Kepincangan yang sedia ada di Malaysia ini harus dipulihkan dengan cara Islam yang mana sistem ekonominya mestilah tidak membebankan rakyat dan kitaran kewangannya berjalan pada semua lapisan masyarakat tanpa unsur monopoli.
Tambahan lagi, pembelaan rakyat di bawah khususnya dalam pertanian dan penternakan mestilah diuruskan dengan lebih telus, supaya kartel dan ‘orang tengah’ tidak dapat memonopoli harga barangan keperluan asas di pasaran.
Pemuda PAS Perak berharap agar pihak kerajaan tidak hanya mengambil tindakan yang bersifat “one-off” seperti menambah bekalan asas melalui pengimportan semata-mata kerana ianya boleh “membunuh” pengusaha tempatan yang terpaksa menanggung kos tinggi dengan hasil tidak terjual.
Justeru, Pemuda PAS Perak menggesa agar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi berkaitan mengambil langkah proaktif yang akan membela nasib rakyat di bawah dengan solusi jangka masa panjang.
“Memacu Perpaduan”
“Legasi Perjuangan”
Sekian, terima kasih
HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
#KenyataanMedia
#PemudaPASPerak
#LegasiPerjuangan
#MemacuPerpaduan
https://m.facebook.com/100047255570898/posts/425303265721522/