Home Berita PAS Sarawak

PRN Sarawak: PAS tawar calon berwibawa – Mukhtar Suhaili

249
SHARE

Oleh WANEE DONI

BETING MARO, 6 Dis : PAS menawarkan calon yang berwibawa bagi para pengundi di kerusi N29 Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 12 ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili, calon PAS, Mohammad Arifiriazul Paijo, 37, merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan, yang kini menerajui syarikat Permy Engineering & Services Sdn Bhd.

“Sahabat saya ini berkelulusan Sarjana Muda Business Information System daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP).

“Dan kini bakal bergraduasi pada Januari 2022 di peringkat Sarjana Pengurusan Perniagaan (Corporate Master in Business Administration) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),” ujarnya lagi.

Tambah Mukhtar lagi, Arifiriazul pernah berkhidmat bersama Petronas, dan kemudiannya memilih untuk meletak jawatan daripada syarikat berkenaan untuk bertanding di kerusi N72 Lambir pada PRN Sarawak Ke-11 yang lalu.

 

Menurutnya lagi, Arifiriazul bukanlah nama asing dalam parti memandangkan beliau merupakan Setiausaha PAS Sarawak serta menjadi Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) selama tiga penggal hingga kini.

Justeru kata Mukhtar, Arifiriazul dilihat calon yang amat tepat bagi mewakili PAS di kerusi berkenaan yang berjaya mencatatkan peningkatan undi PAS pada setiap PRN yang diadakan sebelum ini.

“PAS mula bertanding di DUN Beting Maro pada PRN Sarawak tahun 2001 dan mencatatkan peningkatan undi dalam setiap pilihan raya.

 

“Bahkan, pada PRN yang lalu (2016) PAS hanya tewas dengan majoriti 1,707 undi di N.29 Beting Maro dan saya percaya, ketokohan serta kewibawaan yang beliau (Arifiriazul) miliki, mampu menarik pengundi muda untuk memberikan sokongan kepada kita,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau semalam.

Pemilihan Arifiriazul sebagai calon tunggal PAS dalam PRN Sarawak ke 12 ini diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon PAS PRN12 Sarawak, di Kuching, kelmarin.

Dalam PRN Sarawak ke 11 pada tahun 2016, calon PAS bagi DUN Beting Maro, Hamidah Mokhtar mendapat 3051 undi, tewas kepada calon BN, Razaili Gapor yang mendapat 4758 undi sementara calon PH daripada PAN, Andri Zulkarnaen Hamden hanya memperolehi 103 undi dalam pertandingan tiga penjuru.