Home Artikel PAS Johor

KENYATAAN MEDIA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR TAJUK : HORMATI TITAH BAGINDA SULTAN JOHOR

237 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR

TAJUK : HORMATI TITAH BAGINDA SULTAN JOHOR

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) memandang serius terhadap isu yang telah menyebabkan Sultan Johor menjadi murka akibat daripada tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam surat rasminya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa sebarang urusan rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Baginda juga menjelaskan bahawa selama ini tidak pernah surat rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor atau mana-mana PBT ditulis dalam dua bahasa.

Difahamkan bahawa surat jemputan majlis perbincangan mengenai infrastruktur jalan raya bertarikh 12 September lalu itu beredar sejak hari Isnin yang lalu.

Walaupun Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, YB Tan Hong Pin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling YB Cheo Yee How telah menjelaskan bahawa Ahli Majlis MBIP Chan Wei Khjan tidak berniat untuk memperlekeh bahasa Melayu namun tindakan tersebut dilihat sebenarnya akan mencetuskan perbalahan di dalam masyarakat.

BPPNJ berpandangan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor mestilah meletakkan keutamaan terhadap penggunaan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Tiada sebab dan alasan untuk penggunaan bahasa yang lain seandainya rakyat di negeri Johor memahami dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka.

BPPNJ juga mengingatkan agar semua pihak menghormati titah yang telah disampaikan oleh baginda Sultan Johor dan jangan membawa perkara ini ke kancah politik kerana titah baginda adalah untuk kesejahteraan semua rakyat Johor.

Sekian. Wassalam.

ISLAM MEMIMPIN

USTAZ ABDULLAH BIN HUSSIN
PESURUHJAYA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR
26 September 2018