Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kenapa PAS sertai PRK Port Dickson?

7608
SHARE

DARI segi logiknya tidak perlu kepada PAS untuk menyertai pilihan raya kecil ini kerana ia adalah satu PRK yang tidak ada keperluan. Kebiasaannya PRK diadakan kerana sebab-sebab yang tertentu seperti kematian wakil rakyat atau kehilangannya yang memerlukan kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat lain untuk mengantikannya. Dalam konteks parlimen Port Dickson, wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU14 lepas masih lagi sihat walafiat dan sangat sesuai untuk mewakili suara rakyat khususnya Angkatan Tentera Malaysia kerana rata-rata penduduk di situ terdiri daripada tentera sama ada yang masih lagi bertugas ataupun yang sudah bersara.

Tidak ada ribut dan taufan tiba-tiba kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penjawatnya semata-mata untuk memberi ruang kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi memenuhi hasratnya untuk menjadi perdana menteri. Tindakan ini sekali lagi mengecewakan rakyat kerana membazirkan duit negara, di saat pimpinan PH begitu lantang bersuara tentang hutang negara yang begitu banyak dan ekonomi negara tidak baik sehingga terpaksa melancarkan Tabung Harapan kononnya untuk membayar hutang negara, tiba-tiba duit rakyat dibazirkan untuk dibelanjakan dalam PRK Port Dickson ini.

Saya ditanya, adakah tujuan PAS menyertai PRK Port Dickson untuk menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Saya jawab, perjuangan PAS bukan bertujuan untuk menobat atau menghalang mana-mana individu untuk menjawat jawatan perdana menteri semata-mata. Perjuangan PAS ialah untuk merubah dasar dan polisi. Individu boleh datang dan pergi, apa yang penting dasar yang dibawa. Itulah apa yang ditegaskan oleh PAS ketika PH menjadikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai sasaran utama dalam PRU14 yang lepas. Nah sekarang PH sudah berjaya menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri dan menobatkan Tun Mahathir menggantikannya sebagai perdana menteri. Rakyat masih lagi kabur dan mula resah apakah dasar dan hala tuju yang mahu dibawa oleh pemerintahan PH sebenarnya. Rule of law yang dilaung-laungkan rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Pelantikan Speaker Dewan Rakyat tidak mengikut peraturan, kes rasuah Lim Guan Eng tiba-tiba digugurkan oleh Peguam Negara, hak royalti minyak untuk negeri Kelantan dan Terengganu sehingga hari ini belum lagi dikembalikan. Adakah PH hanya mengulangi kegagalan kerajaan BN?

Walaupun PAS dan Gagasan Sejahtera belum lagi diberikan kemenangan untuk memerintah negara dalam PRU14 lepas, akan tetapi kami menghormati pilihan rakyat yang telah memilih PH. PH telah memilih Tun Mahathir sebagai perdana menteri. Beri peluang kepadanya untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan lalu termasuk dasar yang dilakukan oleh beliau ketika menjawat perdana menteri ke-4

PAS adalah parti yang terbuka dan realistik. Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diamalkan oleh PAS sekarang antara terasnya ialah untuk merubah dasar yang silap. Tindakan mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson adalah satu tindakan yang silap dan dasar yang salah yang perlu diperbetulkan. Inilah mesej yang dibawa oleh PAS kepada rakyat Port Dickson dan PAS telah meletakkan seorang calon yang sangat sesuai untuk membawa suara mereka di parlimen bagi memenuhi tuntutan check dan balance kepada pentadbiran PH yang semakin tak menentu hala tujunya.

Walaupun di atas kertas, agak sukar kepada PAS untuk memenangi PRK ini tapi dalam politik pilhan raya apa-apa kemungkinan boleh berlaku. Umpama ceritera yang disebut oleh Timbalan Presiden, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan pengisytiharan calon malam tadi berkenaan dengan pertandingan lumba lari antara arnab dan kura-kura. Dari segi atas kertasnya sudah tentu arnab akan menang kerana kelincahannya dan kura-kura akan kalah dan hilang wang pertaruhan tetapi dek kerana over konfiden akhirnya kura-kura memenangi pertandingan tersebut. Adakah PRK Port Dickson akan menjadi satu sejarah baru politik tanah air? Kita tunggu dan lihat.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
28 September 2018 – HARAKAHDAILY 28/9/2018

Foto: Lensa Haraki