Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Khutbah Jumaat : Dihayati ‘Izzah Umat Dimiliki

1119
SHARE


KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS – HIJRAH DIHAYATI ‘IZZAH UMAT DIMILIKI

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 36 Surah At-Taubah:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَ‌ٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾ [سورة التوبة : ٣٦]

(Maksudnya): Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Kini kita telah berada di bulan Muharram 1440 hijriah di mana bulan Muharram merupakan salah satu dari empat bulan haram yang dimuliakan oleh Allah. Secara khusus Allah melarang berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya. Larangan berbuat zalim pada bulan-bulan ini menunjukkan bahawa dosanya lebih besar daripada dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amal kebaikan yang dikerjakan di dalam bulan-bulan haram termasuk Muharram juga dilebihkan pahalanya. Salah satu amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dikerjakan pada bulan Muharram ini ialah memperbanyakkan puasa sunat.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – [رواه مسلم]

(Maksudnya): Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadhan adalah puasa pada syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

Begitu juga galakan khusus untuk berpuasa sunat hari kesepuluh Muharram.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: …. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
– [رواه مسلم]

(Maksudnya): … Adapun puasa hari ‘Asyura (iaitu hari kesepuluh Muharram), pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.

Sebaiknya jika berkemampuan kita gabungkan puasa ‘Asyura dengan puasa sunat Tasu’a iaitu hari kesembilan Muharram sebagai bentuk berhati-hati terutama untuk membezakan daripada puasa orang yahudi dan nasrani.

لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لَأَصُومَنَّ التَّاسِعَ – [ رواه مسلم ]

(Maksudnya): Jika aku masih hidup di tahun hadapan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Firman Allah dalam ayat 74 Surah Al-Anfal:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾ [سورة الأنفال : ٧٤]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia.

Ayat ini menjelaskan tentang tujuan dan kelebihan hijrah antaranya:

1 Hijrah mesti dilaksana atas dasar niat ikhlas kerana Allah dan bertujuan mendapat rahmat dan keredhaan Allah.

2. Hijrah yang ikhlas akan memperolehi pengampunan Allah, memperolehi keberkatan rezeki dan kemenangan di sisi Allah.

3. Hijrah dan jihad hanya dapat dilakukan dengan mengorbankan apa yang kita miliki, termasuk harta benda bahkan jiwa raga.

4. Penekanan tentang tiga prinsip hidup, iaitu iman, hijrah dan jihad. Iman bermakna keyakinan, hijrah bermakna perubahan dan jihad bermakna perjuangan dalam menegakkan risalah Allah atas muka bumi ini.

Hijrah adalah salah satu prinsip hidup yang sentiasa kita maknai dengan kebenaran berasaskan Islam. Seseorang itu dikatakan hijrah jika dia telah memenuhi dua syarat iaitu yang pertama ada sesuatu yang ditinggalkan dan kedua ada sesuatu yang dituju. Kedua-duanya mesti dipenuhi oleh seseorang yang berhijrah. Meninggalkan segala hal yang buruk, negatif, maksiat, kondisi yang tidak kondusif menuju keadaan yang lebih baik, positif dan kondisi yang kondusif untuk menegakkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan sama ada berkaitan ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

قَالَ رَسُولُ اللهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ – [رواه البخاري وأبو دأود والنسائي]

(Maksudnya): Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ – [ رواه مسلم ]

(Maksudnya): Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang terasing.

Makna ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing itu dijelaskan oleh baginda s.a.w:

الَّذِينَ يُصْلِحُونَ عِنْدَ فَسَادِ النَّاسِ.

(Maksudnya): Mereka yang melakukan perbaikan ketika orang-orang telah rosak.

Dan lafaz yang lain:

الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَادَ النَّاسِ.

(Maksudnya): Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirosak oleh orang-orang yang rosak.

Dalam lafaz lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:

النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ.

(Maksudnya): Mereka adalah orang-orang yang terasing dari kabilah-kabilah.

Apa yang dapat difahami maksud ghuraba’ adalah orang yang tetap melakukan pembaikan dan tetap istiqamah menjalankan ketaatan kepada Allah ketika masyarakat telah rosak dengan istiqamah menyuruh kepada yang maaruf dan melarang dari yang mungkar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 115 Surah An-Nisa’:

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا ﴿١١٥﴾ [سورة النساء : ١١٥]

(Maksudnya): Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Pada hari ini umat Islam seluruh dunia diuji hebat dengan pelbagai bentuk penindasan termasuk di negara kita. Cabaran besar yang datang bukan sahaja kesan perang ketenteraan seperti perang proksi, bahkan serangan pemikiran. Umat Islam mulai meragui Islam adalah penyelesaian kepada konflik kemanusiaan sehingga mengambil ideologi dan akal manusia semata-mata sebagai panduan. Contohnya isu sebat pesalah budaya songsang oleh mahkamah tinggi syariah Terengganu baru-baru ini. Hukuman ke atas pesalah yang ringan dengan enam kali sebatan syar’ie tidak langsung menyakiti apalagi mencederakan pesalah. Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting adalah ia bertaubat dan memohon keampunan Allah di atas kesalahannya. Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah walapun keras seperti sebat sivil menggunakan buluh tumpat dalam keadaan pesalah ditelanjangkan dan dilaksana pula secara tertutup. Malah pernah terjadi dalam isu liwat di bawa tilam sebagai bukti kes dan pesalah dipenjara bertahun-tahun sehingga maruah pesalah tercalar lebih teruk. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah kepada mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah. Oleh itu kita menyeru kerajaan pusat agar memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melakasanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya. Apa yang dikesalkan adalah yang disensasikan dan difokuskan adalah hukuman sebat itu dan bukannya kebimbangan terhadap perbuatan LGBT yang semakin berleluasa meskipun ia sebagai suatu kesalahan jenayah yang sepatutnya dibanteras.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah dalam ayat 87 Surah Al-Qoshosh:

وَلَا يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللَّهِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ ۖ وَادْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٨٧﴾ [سورة القصص : ٨٧]

(Maksudnya): Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.

Umat Islam haruslah sedar dan benar-benar menghayati mesej daripada peristiwa hijrah Nabi s.a.w dan para sahabat dengan pengertian yang sebenar. Matlamatnya untuk membina sebuah masyarakat yang hidup aman dan melaksanakan keadilan dengan menjadikan Islam memimpin bukan dipimpin dan menjadi dasar kepada pembangunan negara bukan sekadar penerapan kepada nilai-nilai ibadat dan peribadi semata-mata. Tanggungjawab mempertahankan Islam adalah salah satu usaha yang menepati matlamat hijrah yang digariskan Islam. Tugas mempertahankan Islam tidak mengira sesiapa, sama ada para pemerintah, raja-raja, ahli politik, para ulamak serta mufti, kumpulan Islam, NGO dan umat seluruhnya. Mempertahankan Islam satu kemuliaan terutama adanya suara sumbang yang semakin lantang menghina dan menuntut agar undang-undang syariah dihapuskan. Marilah kita bekerjasama atas semangat ta’awun dan menghayati makna hijrah dalam mempertahankan kesucian agama daripada celaan mereka yang memusuhi Islam, dalam masa yang sama tanpa menafikan hak bukan Islam hidup dalam senuah masyarakat madani berkonsepkan adil untuk semua. Islamlah nescaya kita selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ.
وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.