Home Artikel PAS Wilayah

Muslimat Wilayah siap sedia hadapi PRU-15

51
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
2 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) telah menjayakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, baru – baru ini.

Majlis ringkas tersebut telah diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) sekitar jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari mengikut prosedur operasi standard norma baharu.

Kesemua hadirin diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal hadirin sentiasa dalam pantauan pihak urusetia.

Penasihat program yang juga Pengarah Pilihan Raya DMPWP, Sharifah Rashida Syed Idrus menegaskan agar kerja-kerja persediaan bagi menghadapi pilihanraya mesti diteruskan mengikut keadaan semasa.

“Pandemik Covid-19 sememangnya telah membuatkan budaya gerak kerja PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum tidak seperti sebelum-sebelum ini.

“Namun, sentiasalah dapatkan maklumat yang sahih dan teruskan bersiap semampunya,” ujar beliau.

Kesemua Pengarah Pilihan Raya dari 13 Dewan Muslimat PAS Kawasan di Wilayah Persekutuan turut menerima watikah perlantikan dalam program berkenaan dengan diiringi bacaan ikrar dan doa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Program yang dihadiri lebih 250 jentera muslimat PAS Wilayah Persekutuan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin.

Hadir sama Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Yang Berhormat Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan Dan Operasi Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Zuhdi Marsuki serta Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Izamudin Ludin.