Home Minda Presiden

Kemenangan ‘Ain Jalut

1473
SHARE


Minda Presiden PAS

KEMENANGAN ‘AIN JALUT


Pertempuran ‘Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658H bersamaan 3 September 1260M. Peperangan tersebut telah mencapai satu kemenangan yang besar dalam sejarah Islam, kerana tentera Islam berjaya mengalahkan musuh yang paling ganas dalam sejarah dunia. Itulah kaum Tatar daripada rumpun Mongol yang keluar dari kawasan Mongolia, di bawah kepimpinan raja mereka yang bernama Genghiz Khan.

Puak Tatar menyerang seluruh pelosok negara, sehingga menguasai sebahagian besar benua Asia dari Korea, China sehingga Asia Barat dan sebahagian besar daripada benua Eropah, sehingga sempadan Jerman dan Itali. Mangsa serangan mereka melibatkan sebahagian besar daripada penganut Islam, bahkan juga Kristian dan agama lain.

Mereka mara laksana api besar yang marak membakar setiap laluan yang dilaluinya sehingga tidak mampu dihalang lagi. Puak Tatar itu membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira usia tua mahupun muda, termasuk kanak-kanak. Mereka memperkosa kaum wanita sebelum membunuhnya, membelah perut wanita yang mengandung, lalu membunuh bayi yang hidup tanpa belas kasihan.

Selain itu, mereka turut merompak segala harta yang berharga bagi meneruskan peperangan yang paling ganas dan memuaskan hawa nafsu mereka, termasuk memusnahkan bandar bukan hanya membunuh penduduknya sahaja, sehingga dianggap mustahil mereka dapat dikalahkan lagi.

Selepas kematian Genghiz Khan, disambung oleh Hulagu Khan yang tidak kurang sifat ganasnya, namun gagal bercita-cita untuk menggantikan legasi datuknya kerana terlebih dahulu diambil alih kepimpinan oleh Kublai Khan yang berpusat di China.

Walaupun Hulagu Khan menghentikan serangan ke Eropah kerana segera pulang untuk mengambil alih menjadi raja paling berkuasa, namun tetap terus menumpukan serangannya di Asia Barat iaitu di kawasan umat Islam setelah berundur daripada Eropah.

Kemaraan Hulagu Khan terhenti seketika, apabila dua raja Islam di wilayah Asia Tengah iaitu Afghanistan dan sebahagian Iran bersatu sekaligus mengembalikan semangat Islam yang ditiupkan dengan melancarkan jihad atas nama Islam. Semangat itu berjaya mengalahkan bala tentera Hulagu Khan dengan pertolongan Allah SWT.

Tetapi apabila terlalu banyak harta ghanimah (rampasan) yang diperolehi daripada kaum Tatar, ia terus melemahkan umat Islam kerana lemahnya iman setelah memiliki harta rampasan yang banyak, sekaligus menyebabkan berlaku perkelahian dalam perebutan harta sehingga berpecah belah dan akhirnya berperang sesama sendiri.

Maka berlaku apa yang telah diberikan amaran yang benar oleh Rasulullah SAW dalam keadaan tersenyum, ketika melihat ramai sahabat datang sembahyang Subuh apabila mereka mendengar berita kepulangan Abu ‘Ubaidah RA daripada tugasan mengumpulkan hasil pendapatan daripada wilayah Islam, lalu Baginda SAW bersabda:

فَوَاللَّهِ ما الفَقْرَ أَخْشَى علَيْكُم، وَلَكِنِّي أَخْشَى علَيْكُم أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَا علَيْكُم، كما بُسِطَتْ علَى مَن كانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كما تَنَافَسُوهَا، وَتُهْلِكَكُمْ كما أَهْلَكَتْهُمْ. (متفق عليه)

“Demi Allah aku tidak risau kefakiran (kemiskinan tegar) yang menimpa kehidupan kamu, tetapi lebih merisaukan aku jika kamu dikurniakan harta dunia seperti pernah dikurniakan kepada umat terdahulu, lalu menjadikan kamu berkelahi disebabkannya, lalu membinasakan kamu, sebagaimana pernah membinasakan mereka.” (Riwayat al-Bukhari 3158 dan Muslim 2951)

Hadis di atas mentafsirkan firman Allah SWT:

﴿فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ٢٠١ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٢٠٢﴾ (البقرة: 200-202)

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan berzikir dan bertasbih membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! berilah kami kebaikan) di dunia.” (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tiada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. (200); Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” (201); Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya) (202).” (Surah al-Baqarah: 200-202)

Wujudnya kelemahan umat, apabila ada di kalangan para ulama’ yang lemah iman mereka sehingga sanggup bersekongkol dengan penjajah Tatar dan kelemahan umara’ (raja-raja) yang memohon bantuan penjajah zalim itu bagi mengalahkan saudara sendiri.

Perpecahan yang menyegerakan bencana malapetaka yang menimpa umat Islam apabila mereka meninggalkan petunjuk Islam, laksana ucapan Khalifah Umar bin al-Khattab RA bersempena kemenangan memerdekakan Baitul Maqdis daripada penjajahan Rom Byzantine Timur:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام، فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله.

“Sesungguhnya Allah memperkasakan kita sehingga mencapai kemenangan kerana besama Islam. Apabila kita memperkasakan diri lain daripada Islam nescaya Allah menimpakan kehinaan keatas kita.”

Bala tentera Tatar mara dengan mudah sehingga jatuhnya Kota Baghdad yang merupakan pusat Kerajaan Islam Abbasiyyah. Kaum Tatar yang ganas dan jahil itu melakukan pembunuhan beramai-ramai sehingga berjuta nyawa umat Islam, bahkan Baghdad menjadi laksana kolam darah jutaan manusia.

Kejahilan dan keganasan puak Tatar juga telah memusnahkan perbendaharaan ilmu agama dan dunia yang tersimpan di dalam gedung kitab yang terbesar dalam sejarah dunia, hasil daripada tamadun yang diIslamkan iIlmu duniawi bersama ilmu agama.

Keadaan itu berlaku apabila mereka yang jahil itu memunggah segala penulisan, dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Sungai Dajlah. Telah diriwayatkan dalam catatan sejarah bahawa air sungai berubah menjadi hitam lantaran dakwat daripada kitab-kitab itu. Ramai yang menyaksikannya dengan penuh kesedihan dan rasa sayu tanpa mampu melawan.

Imam Ibn Kathir RA menyebut dalam kitab tafsir dan sejarah karangannya betapa kaum Tatar itu telah mencipta perlembagaan dan undang-undang negara yang dinamakan Yasak. Ulama’ tersohor ini menulis sewaktu menafsirkan firman Allah:

﴿أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾ (المائدة:50)

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tiada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.” (Surah al-Ma’idah: 50)

Allah SWT memberi amaran kepada umat Islam, bahawa mereka yang percaya kepada Perlembagaan dan Undang-undang Yasak walaupun ada campuran Islam, Kristian, Yahudi dan akal manusia bererti menolak Islam dan terkeluar daripada Islam.

Selepas kematian Hulagu Khan, kemudian digantikan pula oleh Kitbuqa yang meneruskan keganasan sehingga menakluk Syam (Syria, Palestin dan Lubnan) sehingga ke Turki. Penjajahan laksana banjir yang tidak mampu disekat lagi, namun Allah SWT tidak mengizinkan Islam dimatikan dan cahayanya dipadamkan. Maka berlakulah firman Allah:

﴿هَٰٓأَنتُمۡ هَٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾ (محمد : 38)

“(Ingatlah) Kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedangkan kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan memberi derma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Ayat ini diwahyukan ketika bangsa Arab memimpin Islam bersama Rasulullah SAW. Apabila mereka bersifat bakhil dengan harta dan jiwa raga untuk menegakkan Islam, nescaya Allah akan menggantikan dengan kaum lain untuk memimpin bagi menegakkan Islam.

Allah SW menciptakan daripada Kerajaan Mamalik yang berasal daripada tawanan dan hamba abdi di kalangan bangsa Turki yang menganut Islam, lalu ditarbiah menjadi Muslim sejati dan berkhidmat sebagai tentera dan pegawai sehingga mengambil alih kerajaan Islam di Mesir.

Muncul daripada kalangan mereka, sosok Sultan Saifuddin Qutuz. Baginda mengembalikan semangat Islam berslogankan laungan Wa Islamah (Selamatkan Islam tercinta), menggerakkan para ulama’ dan umara’ bersatu kembali dengan menghidupkan jihad dengan tarbiah iman. Pada masa yang sama mengumpulkan dana harta dan persediaan bagi mengikuti perintah Allah SWT:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ٦٠﴾ (الأنفال:60)

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal: 60)

Baginda memulakan langkah melalui dirinya sendiri dengan nasihat para ulama’, khususnya Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam RA, salah seorang ulama’ besar yang mujtahid dalam Mazhab al-Syafii, diberikan gelaran Sultanul Ulama’ kerana keberaniannya menasihati Sultan tanpa mengampu.

Sultan sendiri mara ke hadapan memimpin tentera dengan gagah berani dan memperkasakan bala tentera serta ketua pasukannya, bersama strategi ketenteraan yang bijak, seterusnya memukau bala tentera Tatar yang dipimpin oleh Kitbuqa.

Musuh yang ganas itu berjaya ditewaskan apabila semuanya ditarik mara ke medan ‘Ain Jalut dengan langkah pengunduran sebagai helah peperangan. Sultan yang dipanah lalu terkena kudanya sehingga mati, bangkit meneruskan pertempuran dengan berjalan kaki sehingga menolak pelawaan panglima yang ingin menyerahkan kuda kepadanya.
Semua itu adalah kerana Baginda bersedia untuk mati syahid sekaligus menyebabkan semangat tentera Islam lebih berkobar-kobar, dan al-Nasir Yusuf (cucu Salahuddin al-Ayyubi), salah seorang panglima tentera Islam berjaya menembusi kawalan pertahanan musuh sehingga berjaya menewaskan Kitbuqa, Panglima Tertinggi Tentera Tatar. Maka berlakulah kehancuran tentera musuh yang ganas itu.

Kemenangan bersejarah itu telah menghapuskan tanggapan yang mustahil dapat dikalahkan tentera Tatar, sehingga berjaya mengembalikan semula semangat seluruh umat Islam dan menyelamatkan semua penganut agama lain yang berada dalam ketakutan.

Kemudian berakhir dengan beberapa raja keturunan Tatar dan rakyatnya menganut Islam, sehingga hari ini wilayah Tatar berada dalam negara Republik Rusia yang merupakan salah satu kuasa besar dunia dan menjadi wilayah yang majoriti Muslim.

Maulana Abu Hasan Ali al-Nadawi mengulas betapa keadaan yang berlainan dengan apa yang disebut oleh Allamah Ibn Khaldun dalam al-Muqadimah:

“Kebiasaannya bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajahnya, sehingga sekurang-kurangnya terpengaruh dengan budaya, pakaian dan bahasanya mengikut penjajah. Tetapi umat Islam pernah berjaya mengIslamkan kaum Tatar yang ganas dalam menjajah, kerana kehebatan sahsiah (jati diri) umat Islam apabila berjaya dipertahankan.”

Firman Allah SWT:

﴿ يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾ (الصف:8-9)

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian) (8); Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya di atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya (9).” (Surah al-Saff: 8-9)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 26 Ramadhan 1441 / 19 Mei 2020