Home Artikel PAS Johor

Kemelut Politik Semasa: Pendirian PAS Johor

791
SHARE

Kenyataan Media

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

1. Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (PAS Johor) dengan penuh teliti mengikuti perkembangan politik yang berlaku sekarang, samada di peringkat negeri Johor mahupun di peringkat nasional.

2. PAS Johor akan sentiasa menyokong dan mendokong serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan bagi negeri dan jajahan takluk Johor dalam memastikan keharmonian dan kestabilan di dalam negeri Johor.

3. PAS Johor juga menegaskan bahawa kepentingan Islam dan Melayu terutamanya, serta kepentingan seluruh rakyat khususnya negeri Johor, tidak mengira agama dan bangsa adalah menjadi agenda utama dalam apa jua keputusan dan tindakan dari pihak PAS Johor.

4. PAS Johor akan tetap bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional Johor, melalui kesepakatan di dalam Muafakat Nasional, dengan penglibatan wakil tunggal PAS di dalam ADUN Johor iaitu Yang Berhormat Bukit Pasir, dalam menghadapi kemelut politik sekarang, serta menegaskan komitmen PAS Johor ke arah penubuhan kerajaan baru tanpa DAP di dalam negeri Johor dan Malaysia atau membuat pembubaran Parlimen oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung iaitu selari dengan kenyataan daripada PAS Pusat.

5. PAS Johor ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua penjawat awam di negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya yang masih bersikap profesional, terus melaksanakan amanah masing- masing bagi memastikan urusan pentadbiran negeri dan negara terus berjalan seperti biasa.

6. PAS Johor juga mendoakan agar negeri Johor dan negara Malaysia ini dlindungi dari sebarang bencana dan kerosakan, serta apa jua perubahan akan berjalan dengan harmoni dan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sekian. Wassalam.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN

USTAZ ABDULLAH BIN HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor