Home Berita PAS Sabah

Kembali ke Fitrah 1.0 Muslimat PAS Putatan bimbing saudara baharu

695
SHARE

Oleh: Janira Ain Abu Bakar
2 September 2020

PUTATAN: Dakwah merupakan salah satu agenda terpenting PAS selaku gerakan Islam yang sudah lama bertapak di Sabah. Justeru, Dewan Muslimat Kawasan PAS Putatan (DMPKP) telah menganjurkan satu program khusus untuk para saudara baharu, Sabtu lalu.

Program Kembali ke Fitrah 1.0 “Mengapa Saya Memilih Islam?” diadakan di Dewan Lok Kawi Heights menyaksikan penyertaan seramai 20 orang dari kalangan saudara baharu. Pelaksanaannya dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Antara yang menarik perhatian adalah kehadiran salah seorang peserta baharu yang baru seminggu bersyahadah. Nur Hannah Ong Abdullah, 48 tahun berpendapat penganjuran program ini tepat pada waktunya kerana beliau memang sedang mencari ilmu berkaitan Islam.

“Saya sangat bersyukur dapat masuk Islam dan mengikuti program ini. InsyaAllah selepas ini akan terus berusaha mengikuti kelas-kelas agama bagi mempertingkatkan ilmu kefahaman dalam Islam,” katanya.

Program dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu slot “Mengapa Islam Sangat Berharga Untuk Kita” oleh Ustazah Siti Khadijatul Akmar Shoib, “Syahadah Di Zaman Rasulullah” oleh Ustazah Normi Yusof dan sesi “Sharing Moment” Margareta Gernavius @ Nur Ain. Ilmu yang disampaikan secara santai namun penuh fakta telah berjaya memberi pengisian yang diharapkan oleh para peserta.

Menurut Nur Fatin Izwana, 60 tahun, beliau mula berminat dengan Islam apabila melihat keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh sebuah keluarga Muslim yang dianggap sebagai keluarga angkat di tempatnya.

“Saya tertarik melihat cara mereka berkomunikasi dengan ahli keluarga, cara mereka bercakap, bagaimana anak-anak melayan orang lebih tua. Jadi nampak keluarga itu sangat harmoni,” ujarnya.

Pengarah program, Zainab Khuzaimah Azman menyuarakan rasa berbesar hati kerana melalui program ini, saudara baharu dapat didekati dan diselami kisah suka duka mereka.

“Kebanyakan mereka yang baru memeluk agama Islam memerlukan sokongan dan bimbingan agar dapat menghayati erti keIslaman mereka yang sebenar. Justeru, menjadi tugas dan amanah buat kita untuk memegang erat tangan mereka, membimbing dan sama-sama mendaulatkan Islam,” ulasnya.