Home Berita PAS Kelantan

Kelulusan segera RM12 juta, kerajaan negeri berterima kasih kepada pusat

31
SHARE

RANTAU PANJANG, 15 Dis: Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kelulusan peruntukan segera sebanyak RM12 juta bagi pembelian enam pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan banjir genang yang sering terjadi setiap kali musim tengkujuh.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tiba di Kelantan hari ini, sempena rangka lawatan kerja sehari dan mengikuti sesi taklimat persiapan dan situasi semasa banjir di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Beliau diiringi Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad.

Dalam siri lawatan tersebut, beliau seterusnya bergerak ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok bagi sesi ramah mesra bersama penduduk yang terjejas banjir.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Ahmad Zahid turut mengumumkan sama seperti sebelum ini, Kerajaan Pusat akan meneruskan pemberian wang Ehsan RM1000 kepada mangsa banjir dan pembayaran tersebut akan dilakukan segera sebelum banjir surut atau mereka pulang ke rumah masing-masing.

Beliau juga memberi jaminan semua mangsa terjejas akan diberi layanan sama rata kerana banjir memberi kesan kepada semua rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan membantu dan menghulurkan bantuan kepada semua yang berhak.