Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Kelonggaran Vaksinasi Lengkap : Masjid diimarah, pelihara institusi kekeluargaan dan jana ekonomi domestik

48
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

KELONGGARAN VAKSINASI LENGKAP: MASJID DIIMARAH, PELIHARA INSTITUSI KELUARGA DAN JANA EKONOMI DOMESTIK

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri semalam mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Syukur ke hadrat Ilahi, kelonggaran untuk mengimarahkan semula masjid dan surau telah diberikan di seluruh negara. Umat Islam mesti mengambil peluang ini untuk hadir ke masjid/surau dan mendekatkan diri kepada Allah supaya dapat mengelakkan daripada tertekan dengan suasana mencabar pandemik.

Secara asasnya, dua aspek penting diberikan penekanan iaitu kelonggaran terhadap institusi keluarga dan merancakkan ekonomi domestik. Penting bagi kerajaan untuk mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup.

Aspek kekeluargaan bertepatan dengan naluri kemanusiaan terutamanya dalam menghadapi kelesuan pandemik (pandemic fatigue) ini. Selain itu, merancakkan ekonomi domestik juga adalah langkah yang tepat bagi membantu kelangsungan ekonomi usahawan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Namun begitu, setiap kelonggaran yang diberikan mesti disertai dengan disiplin terhadap pematuhan SOP. Kehadiran pelbagai virus COVID-19 jenis ‘Variant of Concern’ terutamanya varian Delta memaksa diri kita untuk lebih mematuhi setiap arahan daripada kerajaan khususnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semoga sedikit kelonggaran yang dibuka dimanfaatkan sebaiknya. Diharapkan kita kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dijauhkan dan diangkat wabak COVID-19 daripada negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
9 Ogos 2021 | 30 Zulhijjah 1442