Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 9 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan merayu Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi satu juta dos vaksin kepada negeri ini sebelum musim tengkujuh tiba.
Kenyataan itu dibuat Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) lantaran kebimbangannya musim tengkujuh bakal memburukkan lagi situasi penularan wabak itu di Kelantan.
“Kita mohon kerana kebimbangan untuk hadapi musim tengkujuh tidak lama lagi, apabila tiba kelak kita belum capai lagi 80 peratus imuniti kelompok, kita bimbang keselamatan nyawa rakyat.
Sebab itu kita mohon kepada MOSTI untuk dapatkan satu juta dos vaksin, barulah kita berupaya melaksanakan 33,000 suntikan sehari di 27 Pusat Pemberian Vaksin (PPV)”, katanya pada sidang media selepas majlis mpelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Kelantan 2021 di perkarangan Mabna-MBI Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Tambahnya, sehingga kini 825,734, rakyat sudah menerima dos pertama, 28.5 peratus daripada jumlah penduduk yang mendaftar.
Manakala 13 peratus lagi sudah mendapat dos kedua.