Home Berita PAS Kelantan

Kelantan pro aktif hadapi krisis bekalan makanan – Exco Pertanian

118
SHARE

KOTA BHARU, 18 Jul: Sektor Pertanian ialah penyumbang kedua terbesar KDNK Negeri Kelantan iaitu 23 peratus mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berdasarkan data Status Kadar Sara Diri (SSL) 2020 menunjukkan Kelantan berada dalam landasan yang tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, ketika menjawab soalan tentang langkah-langkah serta tindakan jangka panjang dan jangka pendek pihak kerajaan dalam menangani krisis bekalan makanan yang dijangka melanda Kelantan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, YB Rohani Ibrahim pada hari pertama Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Katanya, berpandukan statistik SSL negeri Kelantan 2020, pengeluaran bagi beras (208 peratus), buah-buahan (117 peratus), daging (190 peratus), kelapa (196 peratus) telah melebihi tahap sara diri penduduk Kelantan.

Manakala pengeluaran ikan ialah 93 peratus dan sayur-sayuran pula 98 peratus, mencukupi tahap sara diri rakyat Kelantan.
“Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Kaya Setia Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada 11 Mei lalu.
Jawatankuasa berkenaan melibatkan pelbagai agensi termasuk jabatan atau agensi kerajaan persekutuan atau negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memperhalusi isu-isu berkaitan dan langkah-langkah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berbangkit. Setiap pihak yang terlibat juga telah diminta menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi menjamin sekuriti bekalan makanan di negeri Kelantan,” katanya.

Tambahnya, antara langkah-langkah tersebut, ialah menyediakan peruntukan khas RM10 juta melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan bagi pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging tertutup semi automatik dan penternakan lembu secara integrasi di ladang sawit.

Kedua, projek ternakan lembu secara integrasi dalam kawasan ladang sawit juga telah dibangunkan oleh pihak Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad di Paloh, Gua Musang.

Ketiga, menyediakan kawasan jelapang padi baharu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dengan kerjasama KADA bagi membangunkan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) 100 hektar di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas.

Keempat, mengisytihar Danau Tok Uban sebagai Zon Industri Akuakultur dan dalam usaha menambah beberapa kawasan yang berpotensi sebagai ZIA yang baharu antaranya Laguna Semerak.

Kelima, meningkatkan proses pemindahan ilmu, teknologi dan teknikal kepada masyarakat melalui program-program dan bengkel latihan seperti Agri Bio Class, Seminar Semarak Organik Al-Falah, Diskusi Organik dan pelbagai latihan di bawah jabatan dan agensi berkaitan.

Keenam, mempergiat kempen penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan seperti Program Dapur Hijau, Kempen Seed Community-Kempen penghasilan dan penyimpanan benih tanaman dan ketujuh, membangunkan program Pembangunan Makanan Ternakan Alternatif Alfalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) sasaran sebagai pusat penghasilan makanan alternatif komuniti.