KOTA BHARU, 4 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan istiqamah menjayakan aktiviti kerohian seperti program dakwah, kelas Al-quran dan modul pembangunan keluarga dengan peruntukan RM7.6 juta.
Pemangkin kejayaan tersebut, Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengumumkan peruntukan RM1.5 juta dalam belanjawan Kelantan 2023 khusus bertujuan menjayakan program kecemerlangan solat.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) komited menjayakan program Membina Generasi Solat (MGS) dan Madrasah Membina Generasi al-Quran (MGQ) pada tahun-tahun yang akan datang dengan lebih komprehensif dan terancang.
“Pada tahun 2022 seramai 12,255 pelajar telah mengikuti program Membina Generasi Solat (MGS). Tahniah kepada para pelajar terbaik MGS dan MGQ yang terpilih untuk menerima anugerah kecemerlangan bagi tahun 2022,” katanya ketika merasmikan Festival Islam dan Kecemerlangan Membina Generasi Solat & Membina Generasi Al-Quran di Kompleks Islam Darulnaim, semalam.
Festival anjuran JAHEIK itu diadakan pada setiap tahun sebagai satu wasilah terbaik untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat di negeri ini dengan menggunakan pendekatan dakwah yang lebih segar, mesra dan santai.
Ustaz Dato’ Ahmad diiringi Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Ahmad Fathan Mahmood, turut berterima kasih kepada para mudarris MGS dan guru Madrasah MGQ atas sumbangan terbaik mereka mendidik para pelajar.