Oleh CHE MAZIAH MAT
KOTA BHARU, 12 Sept: Kelantan kini telah mencapai kadar peratusan vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa melebihi 50 peratus pada 8 September baru-baru ini, sementara itu lebih 73 peratus daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Demikian menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Seri Dr Adham Baba pada sidang media sewaktu melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), semalam.
Katanya, sehingga semalam Kelantan telah mencatatkan pemberian dos harian sebanyak 3,927 yang mana 3,515 adalah untuk dos satu manakala 412 pula adalah dos kedua dengan jumlah pemberian kumulatif dos di Kelantan setakat ini adalah 1,541,785.
“Kelantan kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai nilai ambang 60 peratus yang disasarkan pada hujung September nanti dan setakat 8 September, sembilan daripada 10 daerah telah merekodkan kadar melebihi 60 peratus bagi yang telah menerima satu dos.
Hanya Gua Musang sahaja yang masih berada di bawah sasaran tersebut setakat ini yang mana usaha dan perhatian sedang diberikan untuk memastikan kadar dos satu yang diberikan adalah mencukupi bagi rekod dos kedua dapat mencapai sasaran tersebut pada hujung bulan nanti,” tambahnya.
Ketika ditanya tentang isu sijil vaksinasi beliau menjelaskan, MOSTI dan KKM sedang bekerjasama erat bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini.
“Kerjasama antara MOSTI dan KKM adalah memastikan tindakan pembersihan data dilakukan MyVAS dan kemudian data bersih seterusnya diberikan kepada MIMOS untuk dimasukkan dalam sistem VMS,” katanya lagi.
Dalam ucapan ringkas sebelumnya, Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kerana Kelantan bakal menerima bekalan vaksin sebanyak 1,248,900 juta dos sepanjang bulan September ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hasmisah Tapsir, Ketua Jajahan Kota Bharu, Pengarah Kesihatan Negeri serta pegawai tinggi kerajaan negeri dan persekutuan.